Mampukah Sidang Tergempar OIC ubah nasib Palestin?

Iklan
Kepulan asap memenuhi ruang udara Gaza akibat serangan Zionis Israel. - Foto EPA

SERANGAN oleh zionis Israel semakin memuncak apabila tentera mereka dilaporkan telah menyerang sebuah kompleks hospital terbesar di Gaza, mengakibatkan korban di kawasan yang dianggap sebagai tempat perlindungan orang awam pada Sabtu.

Media melaporkan, menurut Kementerian Kesihatan Palestin, salah satu kawasan sasaran rejim zionis Israel termasuk Hospital Al Shifa yang menjadi tempat perlindungan ribuan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal akibat perang itu.

Iklan
Iklan

Israel kini mengambil langkah kejam dengan menyasarkan hospital dengan alasan untuk menghapuskan kumpulan pejuang Hamas yang didakwa mendapat perlindungan di pusat dan kompleks kesihatan.

BBC melaporkan, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) juga mengepung beberapa laluan masuk dan kawasan sekitar hospital serta berada dalam keadaan siap siaga untuk melancarkan serangan.

Iklan

Konflik Palestin-Israel yang telah pun mengorbankan lebih 10,000 nyawa itu dilihat semakin parah dan mencetuskan kebimbangan negara-negara Islam yang lain termasuk Malaysia.

Rakyat Malaysia mengadakan pelbagai demonstrasi bagi mengecam perbuatan terkutuk Zionis Israel, pada masa yang sama mengharapkan solusi kepimpinan negara-negara Islam dalam menamatkan peperangan tersebut.

Iklan

Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan telah tiba di Riyadh, Arab Saudi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali kelapan bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.

Beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi Malaysia termasuk Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil disambut oleh Timbalan Gabenor Riyadh, Putera Muhammad bin Abdulrahman bin Abdul Aziz.

Turut berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Anwar ialah Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan isteri, Datin Zuhaila Abd Latiff.

Melihat kepada dua situasi yang berlaku pada ketika ini, dapatkah OIC mengubah nasib Palestin? Atau lebih tepat lagi membawa perubahan yang dapat menghentikan konflik peperangan Palestin-Israel?

OIC merupakan sebuah badan antarabangsa yang mana terdiri daripada 56 negara-negara Islam kebanyakannya dari Asia Barat, Asia Tenggara, Afrika Utara dan Asia Selatan.

Objektif utama penubuhan OIC adalah untuk menggalakkan kerjasama antara negara-negara Islam dari segi kebudayaan, sains, sosial dan ekonomi.

Ia juga termasuk memberi perlindungan Islam, tempat-tempat suci agama itu dan menyokong hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka.

Melihat kepada kepentingan berkenaan, OIC diharapkan bukan sekadar mengadakan pertemuan dan perbincangan semata-mata malah perlu membawa perubahan drastik menokhtahkan kekejaman ke atas Palestin.

Adalah penting untuk negara-negara anggota OIC menunjukkan penegasan serta gesaan supaya gencatan senjata disegerakan dan menghentikan pembunuhan yang sedang berlaku di bumi Gaza pada ketika ini.

Sudah pasti rakyat Malaysia menantikan keputusan Sidang Kemuncak Tergempar OIC dan diharapkan supaya dapat membawa berita yang baik kepada Palestin.