Aliff raih kontrak ONE Championship hampir setengah juta

Iklan
Aliff menewaskan petinju Iran di Stadium Lumpinee Boxing, Bangkok pada Jumaat. Foto Instagram Aliff.

JAGUH muaythai remaja negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib melakar sensasi di Thailand apabila terpilih untuk meraih kontrak ONE Championship bernilai AS$100,000 (RM469,000).

Atlet yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan itu berjaya mendapatkan kontrak tersebut selepas menewaskan petinju dari Iran, Zolfaghari secara KO atau 'knock-out' di Stadium Lumpinee Boxing, Bangkok pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Petinju berusia 19 tahun itu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai detik yang paling gembira dalam kerjayanya.

"Malam ini (Jumaat) saya memenangi pertarungan dengan KO dan menerima kontrak bernilai AS100,000 untuk ONE. Malam ini adalah saat paling bahagia dalam hidup saya," tulisnya menerusi laman Instagram berkongsi momen tersebut.

Iklan

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja Mei lalu itu memberitahu, jurulatihnya pernah berjanji untuk mendapatkan kontrak bersama ONE Championship.

"Tahun ini, jurulatih berjanji kepada saya bahawa kami akan mendapatkan kontrak bersama ONE Championship. Malam ini satu lagi kejayaan KO dan kami mendapatkannya," katanya yang meraih pingat emas dua tahun berturut-turut pada Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA pada 2021 dan 2022.

Iklan

Aliff turut melahirkan penghargaan kepada jurulatih yang membantunya dan memberikan dorongan dalam pertarungan tersebut.

"Terima kasih kepada jurulatih yang selalu memberi semangat dan buatkan saya percaya kepada diri sendiri. Terima kasih kepada bos Pachet dan semua rakan-rakan saya di kem, saya sayang anda semua. Alhamdulillah untuk semuanya," tulisnya.

Ekoran kemenangan itu, Aliff ditawarkan kontrak bersama ONE Championship bernilai AS$100,000 serta bonus sebanyak AS$10,000 (RM46,900).

Aliff merupakan jaguh muay thai kedua menandatangani kontrak tersebut selepas Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo bulan lalu.

Atlet kelahiran Sarawak itu berjaya menewaskan lawan dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam acara ONE Friday Figh.