Balai Seni Negara guna pendekatan seni sebarkan mesej antirasuah

Iklan
Balai Seni Negara mengangkat seni visual sebagai satu cara menyebarkan mesej integriti dan antirasuah kepada komuniti masyarakat. (Gambar hiasan)

SHAH ALAM - Balai Seni Negara (BSN) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengangkat seni visual sebagai satu cara menyebarkan mesej integriti dan antirasuah kepada komuniti masyarakat.

Kurator Kanannya, Baktiar Naim Jaafar berkata, untuk itu pihaknya menjemput tiga pelukis mural untuk menghasilkan lukisan bertemakan 'Klang Bahagia Berintegriti' di Bangunan Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Klang, Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelukis yang dijemput terdiri daripada pelukis yang sedang menempa nama dalam bidang muralis iaitu Miey Ali, Sazwan dan Sam Addenno.

"Gabungan ini adalah untuk berkongsi idea dan proses serta pertukaran pengetahuan di antara pelukis yang berpengalaman dengan pelukis yang baru menceburkan diri dalam penghasilan seni mural.

Perbincangan yang diadakan baru-baru ini antara BSN, MPK dan pelukis ke arah merealisasikan lukisan mural 'Klang Bahagia Berintegriti'.

Iklan

"Penghasilannya nanti juga akan menggunakan pendekatan HTCS (history, theory, criticism, studio) turut sama mengembangkan sudut pandang kuratorial dalam merangka kerjasama dengan pelukis dan majlis perbandaran agar mural yang dihasilkan mempunyai daya fikir, gaya kontemporari, nilai estetika, nilai tinggi dan mesej," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Jelasnya, kerja-kerja untuk melukis mural ini dijangkakan bermula pada 16 November dan berakhir pada 26 November 2023.

Iklan

"Insya-ALLAH kita jangkakan boleh disiapkan dalam 10 hari, kerana pelukis-pelukis yang menjayakan projek ini semuanya berpengalaman," jelasnya.

Katanya, objektif projek ini adalah untuk menyebarkan kempen antirasuah bagi menyedarkan masyarakat dengan menggunakan medium seni visual melalui pendekatan mural.

Tambahnya, BSN menerusi program-program komuniti sebelum ini, mengangkat potensi generasi baru seperti muralis dan grafiti artis sebagai satu bidang profesionalisme dalam ekosistem seni.

"Kelompok ini sangat berbakat dalam menghasilkan visual bagi tarikan baru pelancongan dan keindahan bandar. Ia juga termasuk dalam bidang pengiklanan gaya baharu di mana mural di jalanan sebagai promosi produk menggantikan pengiklanan bercetak.

"Dalam 10 tahun kebelakangan ini, mural menjadi trend, ia dilihat membuka peluang ekonomi kepada para penggiat seni muralis dan menjadikan bidang seni muralis semakin berkembang dan semakin diberi perhatian oleh masyarakat dan syarikat-syarikat yang ingin mencuba trend masa kini pengiklanan," katanya.

Jelasnya, untuk projek lukisan mural ini pihaknya telah bekerjasama dengan Rasuah Busters dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Apabila RB ingin bekerjasama dengan kami, kami menghulurkan tangan untuk bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin mengangkat seni visual sebagai medium komunikasi kepada komuniti dan masyarakat Malaysia Madani.

"Tujuan murni RB di sambut baik bagi mempromosikan ekosistem seni di mana para penggiat kami yang terdiri daripada pelukis, kurator, persatuan seni, komuniti dan artgig turut mendapat manfaat selayaknya," ujarnya.