Liga Arab, pemimpin Islam tuntut Israel tamatkan perang di Gaza

Iklan
Sidang Kemuncak Tergempar Liga Arab dan Negara Islam pada Sabtu meluluskan ketetapan menuntut Israel serta merta menamatkan keganasan ke atas Semenanjung Gaza.

KUALA LUMPUR - Sidang Kemuncak Tergempar Liga Arab dan Negara Islam pada Sabtu meluluskan ketetapan menuntut Israel serta merta menamatkan keganasan ke atas Semenanjung Gaza selain menolak tindakan melancarkan perang atas sebab mempertahankan diri atau bagi mewajarkannya atas apa jua alasan.

Sidang kemuncak itu juga menugaskan menteri luar Arab Saudi, Jordan, Mesir, Qatar, Turkiye, Indonesia, Nigeria dan Palestin untuk memulakan tindakan segera bagi pihak semua negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab.

Iklan
Iklan

Mesyuarat berkenaan berlangsung di Pusat Konvensyen Raja Abdulaziz di Riyadh, dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.

Sidang kemuncak itu juga menyeru negara anggota OIC dan Liga Arab untuk mengenakan tekanan diplomatik, politik dan undang-undang dan mengambil sebarang tindakan pencegahan untuk menghentikan jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh pihak penceroboh.

Iklan

Para pemimpin menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil keputusan yang mengikat dan tegas untuk memaksa serangan dihentikan dan mengekang pihak penceroboh daripada melanggar undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan resolusi legitimasi antarabangsa.

"Tidak mengambil sebarang tindakan dianggap sebagai bersubahat yang seakan membenarkan Israel untuk meneruskan serangan kejam yang membunuh orang tidak bersalah, kanak-kanak, warga emas dan wanita, serta menyebabkan Gaza hancur dan musnah," menurut ketetapan itu.

Iklan

Selain itu, para pemimpin Islam juga menyeru semua negara untuk menghentikan eksport senjata dan peluru kepada pihak penceroboh yang digunakan untuk membunuh rakyat Palestin dan memusnahkan rumah, hospital, sekolah, masjid, gereja dan segala kemudahan yang ada.

Mereka juga menggesa pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyelesaikan siasatan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel di semua wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Para pemimpin menugaskan Sekretariat Agung OIC dan Liga Arab untuk memantau pelaksanaan siasatan itu dan menubuhkan dua unit pemantau khas undang-undang bagi mendokumentasikan jenayah Israel yang dilakukan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober.

Unit itu kemudian akan menyediakan prosiding undang-undang mengenai semua pelanggaran yang dilakukan oleh Israel dan menyerahkan laporan mereka kepada Majlis Liga Arab di peringkat menteri-menteri luar dan majlis menteri-menteri luar OIC.

Laporan berkenaan perlu diserahkan dalam tempoh 15 hari selepas pembentukan unit itu.

Sidang kemuncak itu juga mengutuk tindakan memaksa hampir satu setengah juta rakyat Palestin berpindah dari utara ke selatan Semenanjung Gaza yang merupakan jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva Keempat 1949 dan Protokol 1977.

Para pemimpin menyeru pihak-pihak dalam konvensyen secara kolektif mengecam dan membantah tindakan itu dan menggesa semua organisasi PBB menentang percubaan pihak penceroboh untuk meneruskan tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Semua penduduk yang diusir perlu dibenarkan kembali semula ke kediaman dan wilayah mereka.

"(Kami) membantah sepenuhnya dan bersama-sama menentang secara kolektif sebarang percubaan untuk memindahkan, mengusir atau mengasingkan rakyat Palestin secara individu atau besar-besaran, sama ada di Semenanjung Gaza, Tebing Barat termasuk Al-Quds (Baitulmaqdis) atau di luar wilayah mereka ke mana-mana destinasi, dan semua tindakan itu dianggap sebagai jenayah perang," menurut resolusi itu.

Serangan berterusan tanpa henti rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza sejak kira-kira sebulan yang lepas telah mengorbankan lebih 11,000 nyawa, dengan sebahagian besar terdiri penduduk awam terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Beribu-ribu penduduk pula masih tidak dapat dikesan dan dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang musnah dibedil.

Menurut pertubuhan hak asasi manusia, pengeboman oleh Israel menyaksikan pesawat pejuangnya menggugurkan lebih 25,000 tan bahan letupan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, yang bersamaan dengan dua bom nuklear. - Bernama.