Penduduk Pasir Gudang bantah kenaikan cukai pintu

Iklan
Sariff menunjukkan surat kenaikan bayaran cukai yang diterima daripada MBPG dalam Town Hall Isu Kenaikan Cukai Taksiran MBPG Bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Scientex, Pasir Gudang pada Ahad
PASIR GUDANG - Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) perlu telus, bertimbang rasa dan mengambil kira keadaan semasa sebelum melaksana Nilaian Baharu Cukai Harta pada 1 Januari 2024.

Seorang pesara, Sariff Sain, 66, dari Taman Nusa Damai berkata, MBPG wajar menangguhkan terlebih dahulu keputusan itu kerana disifatkan amat membebankan dan tidak sesuai pada masanya.

"Sekarang kita boleh lihat lain rentang dipasang di pintu masuk taman-taman yang memberi amaran, jika tidak bayar cukai pintu rumah akan disita. Ini menakutkan dan membimbangkan orang ramai. Jangan zalimi rakyat.

"Bayangkan keputusan menaikkan cukai pintu baharu antara 40 sehingga 50 peratus pada tahun depan belum dimuktamadkan dan baru di peringkat cadangan, tetapi kami penduduk sudah menerima surat berkenaan pada Oktober lalu bahawa pelaksanaannya akan dilakukan tahun depan," katanya.

Dia berkata demikian dalam Town Hall Isu Kenaikan Cukai Taksiran MBPG Bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Scientex di sini pada Ahad.

Pada Rabu, Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd Amin Ahmad selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan perkara itu berkata, MBPG sedia menimbang semula perlaksanaan cukai baharu itu yang dicadangkan naik pada kadar antara 40 sehingga 50 peratus bermula tahun depan.

Menurut Mohd Amin, satu mesyuarat khas akan diadakan pada pertengahan bulan ini bagi membincangkan dan memutuskan kadar yang akan dipersetujui nanti.

Bagaimanapun katanya, penduduk dibenarkan membuat bantahan secara bertulis atau menerusi dalam talian sebelum ditutup pada Selasa ini.

Seorang lagi penduduk, Aiman Hafiz, 30, dari Bandar Seri Alam pula berkata, kenaikan dicadangkan pada kadar 20 peratus amat tinggi malah tidak sepadan dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan selama ini.

"Ini berbeza kadar kenaikan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kadar 8 sehingga 11 peratus sahaja tahun depan. Saya perlu bayar kadar baharu RM1,180 pada tahun depan seperti dinyatakan dalam surat yang dihantar MBPG," katanya.

Dia juga kecewa apabila Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman termasuk tiada seorang pun Ahli Majlis MBPG yang hadir pada sesi 'town hall' berkenaan untuk mendengar rayuan dan masalah orang ramai.

Jalee Anjut, 45, dari Taman Scientex berkata, penduduk bukan sahaja akan terbeban dengan kadar baharu cukai itu tetapi juga cukai tanah di sini diberitahu akan dinaikkan tahun depan selain pelaksanaan saman parkir kereta depan rumah juga tahun depan.

"Penduduk juga kini dikenakan bayaran perkhidmatan RM120 setahun kepada Indah Water Konsortium dan jika tidak dibayar akan didakwa di mahkamah. Bayangkan beban cukai-cukai dan hutang yang perlu kami bayar, hutang MBPG tahun lepas pun saya belum habis bayar lagi. Bayar secara ansuran, ini memeningkan kepala," katanya.

Azlan Ali, 37, juga dari Bandar Seri Alam berkata, sebelum menaikkan kadar cukai, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu mengkaji sama ada penduduk sudah bersedia dan mampu membayar atau tidak bagi mengelakkan tunggakan.

"Itu belum dikira cukai awning yang dipasang depan rumah dikenakan lesen RM50 setahun. Kalau tidak dibayar MBPG akan robohkan awning tersebut. Ini membebankan dengan kadar cukai pintu rumah saya naik 17 peratus tahun depan daripada RM340.78 kepada RM562.20.

"Itu belum lagi cerita Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang naik tiga empat kali tahun ini, pemilik atau penyewa rumah kena bayar lebih lagi kerana bayaran atau kadar sewa naik. Sedangkan gaji atau elaun pekerja di sini tak naik pun," katanya.