Henti jual rokok hujung tahun ini

Iklan
Afif (kanan) melekatkan papan tanda amaran larangan merokok di Restoran Nasi Kandar Pelita di Taman Chai Leng, semalam.

PERAI - Kerajaan negeri memuji langkah yang diambil pengurusan rangkaian Restoran Nasi Kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita) di seluruh negara yang akan menghentikan penjualan rokok menjelang hujung tahun ini.

Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, seharusnya lebih banyak lagi premis makanan di negara ini mengambil inisiatif sama dengan tidak hanya menjadikan premis mereka sebagai kawasan larangan merokok sebaliknya juga turut menghentikan penjualan tembakau.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap pengusaha restoran yang mengambil inisiatif murni seperti itu akan diberikan penganugerahan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kerana jasa mereka dalam menyokong usaha kerajaan.

"Pelita menjadi syarikat pertama yang membuat pengumuman seperti itu dan kita begitu menghargainya.

Iklan

"Dalam masa sama, kita berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat membuat pertimbangan untuk buat larangan jual rokok di restoran,” katanya ketika membuat lawatan di salah sebuah Restoran Nasi Kandar Pelita di Taman Chai Leng di sini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Pengarah Eksekutif Pelita, Datuk KK Sihabutheen berkata, rangkaian Restoran Nasi Kandar Pelita di seluruh negara akan menghentikan penjualan rokok menjelang hujung tahun ini.

Iklan

Ia bagi menyokong hasrat kerajaan yang menguatkuasakan larangan merokok di restoran dan kedai makan mulai awal tahun ini untuk menjadikan rakyat di Malaysia sebagai masyarakat maju yang penuh bertamadun menjelang 2020.

Sihabutheen berkata, walaupun beberapa pihak termasuk persatuan pengusaha restoran sebelum ini mendesak kerajaan menarik balik larangan merokok di restoran namun pihaknya mengambil positif pendekatan yang dilaksanakan kerajaan.

Bagaimanapun menurutnya, Pelita memerlukan sedikit masa untuk melaksanakannya memandangkan notis penguatkuasaan larangan merokok yang dibuat kerajaan berlaku dalam tempoh masa singkat.

Sementara itu, Dr Afif berkata, sehingga hari ini Jabatan Kesihatan negeri telah mengadakan lawatan ke 1,604 premis dan mengeluarkan kira-kira 1,278 notis amaran terhadap pengusaha restoran berhubung larangan merokok.

Malah beliau turut memuji masyarakat yang boleh menerima pelaksanaan larangan itu sejak 1 Januari lalu.

"Sepanjang seminggu ini, masyarakat secara semulajadinya menyedari polisi baharu ini dan ia menunjukkan bahawa minda rakyat pada hari ini sudah mula terbuka hingga boleh jadi pencetus kerajaan melaksanakan polisi lain.

"Termasuk juga dengan kuasa media sosial yang menjadikan kempen larangan merokok menampakkan keberhasilannya,” katanya.