Pusat Pemindahan Kekal Bencana pertama dibina di Sabah

Iklan
Armizan

KUDAT - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memutuskan projek rintis pertama Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) dilaksanakan di Pitas dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM6.9 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembinaan PPKB di Pitas itu bakal menempatkan seramai 500 mangsa yang terjejas banjir di daerah ini.

Iklan
Iklan

Katanya, pelaksanaan projek PPKB itu merupakan antara inisiatif baharu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menambah baik prasarana pusat penempatan mangsa bencana.

"Inisiatif ini telah diumumkan secara rasmi pelaksanaannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023.

Iklan

"Dalam fasa pertama pelaksanaan, sembilan PPKB telah dirancang untuk pembinaan sebagai projek rintis di sembilan negeri yang kemudiannya akan diperluasakan ke semua negeri.

"Bagi di Sabah, JPBN Sabah telah memutuskan projek rintis pertama dilaksanakan di Pitas dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM6.9 juta dan dapat menempatkan seramai 500 mangsa," katanya ketika melakukan lawatan kerja meninjau tapak cadangan pembinaan PPKB yang pertama Sabah di sini pada Ahad.

Iklan

Tambah beliau lagi, objektif pembinaan PPKB itu adalah untuk menyediakan prasarana penempatan bencana khusus yang bertaraf kekal untuk tempat perlindungan sementara mangsa semasa sesuatu kejadian bencana berlaku.

"PPKB akan mempunyai persekitaran dan kemudahan yang lebih baik berbanding pusat pemindahan sementara (PPS). Pusat ini akan dilengkapi kemudahan yang bersesuaian.

"Ini termasuk seperti dewan penginapan, tandas, bilik mandi, ruang membasuh pakaian, dapur dan sudut makan, ruang khas wanita, bilik pentadbiran dan petugas, stor makanan, keperluan asas, bilik rawatan serta surau," jelasnya.

Armizan dalam pada itu berkata, NADMA juga akan bekerjasama dengan JPBN untuk pelaksanaan projek pembaikan kecil dan naik taraf tandas, bilik mandi dan stor di PPS sedia ada secara berperingkat.

Untuk rekod, bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 yang diramalkan bermula pada November ini hingga Mac depan, sebanyak 8,481 PPS telah dikenal pasti di seluruh negara termasuk 332 di Sabah.