HAIRUDDIN Omar menyifatkan perasaannya bercampur baur setelah buat kali pertama skuad kendaliannya, Terengganu FC (TFC) II muncul juara sulung Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada malam Sabtu.
Kejayaan tersebut diraih setelah skuad Penyu menang tipis ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) II 1-0 dalam aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras hasil jaringan tunggal Isa Raman pada minit ke-89.
"Ini kali pertama saya menjadi ketua jurulatih dan pasukan berjaya mendapatkan piala. Pada awal perlawanan berasa sedikit gugup kerana ini pengalaman baharu untuk saya,” katanya.
Dalam aksi itu, TFC II turun dengan seorang pemain import, Jordan Mintah untuk membantu serangan, manakala JDT II menambah kekuatan mereka dengan menyenaraikan Shane Lowry dan Oscar Arribas selain kehadiran Endrick dos Santos di jentera tengah.
Hairuddin atau terkenal dengan julukan Hai O turut mendedahkan semangat juang tinggi pemain dan taktikal permainan yang diterapkan membantu pasukan meraih kemenangan pertama tersebut.
Beliau juga menjelaskan bahawa TFC II mencapai sasaran untuk membekalkan pemain muda ke skuad utama, TFC.
"Kalau kita lihat daripada kesebelasan utama JDT, mereka seakan mahu mencari gol awal dan kita memulakan perlawanan dengan sedikit bertahan.
"Mereka juga memiliki kualiti pemain yang baik seperti Endrick dan Oscar di bahagian tepi untuk melakukan serangan.
"Saya katakan kepada pemain jangan masuk ke bilik persalinan sehingga kamu menang perlawanan ini. Alhamdulillah pemain membalas permintaan saya,” katanya.
Gol lewat permainan yang dijaringkan oleh Isa memastikan barisan bintang JDT tewas 0-1.
Saingan sengit bakal menjadi tumpuan sekali lagi apabila JDT akan bertemu TFC dalam aksi final Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 Disember.