PERUMAHAN mampu milik yang dibangunkan SkyWorld Development Bhd, SkyAwani 3 Residences merangkul Anugerah Reka Bentuk Inovatif di bawah kategori Anugerah Pembangunan Mampan Cemerlang Malaysia di Anugerah Perancangan Bandar Malaysia (MUPA) PLANMalaysia 2023 pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Chee Seng berkata, skybridge di Skyawani 3 Residences yang berketinggian 170.55 meter milik syarikatnya itu juga diiktiraf sebagai Jambatan Langit Kediaman Tertinggi di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
"SkyAwani 3 Skybridge terletak di aras 52 dan menghubungkan ketiga-tiga menara serta menawarkan pemandangan Kuala Lumpur tanpa halangan.
"Penghuni di situ boleh menikmati 22 kemudahan rekreasi seperti kolam renang dengan jakuzi jet gelembung, bilik permainan, trek joging, gelanggang bola keranjang dan gimnasium,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Chee Seng berkata, pembangunan itu sebahagian daripada inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada penduduk bandar.
Ujarnya, ia merupakan pembangunan perumahan mampu milik yang menawarkan kedua-dua ciri inovasi iaitu kemampanan dan kehidupan berkualiti.
"Kami berasa bangga kerana diiktiraf dalam industri atas komitmen syarikat terhadap reka bentuk yang inovatif.
"SkyWorld memfokuskan usaha untuk meningkatkan taraf hidup penduduk berdasarkan visi 'Always Best City Developer' dengan tujuan utama iaitu 'Make Living Better'," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan atas kerja kerja keras kakitangan syarikat bagi menjayakan projek tersebut yang didorong oleh tiga jenama utama iaitu Pengalaman SkyLiving Bersepadu, Penciptaan Nilai dan Inovasi Persekitaran Mampan.