SHAH ALAM - Peningkatan mendadak jemaah yang menolak bantuan kewangan mengerjakan haji pada tahun ini mencerminkan semakin ramai orang Islam di Malaysia memahami dan menghayati konsep istito’ah dalam mengerjakan ibadah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman berkata, pada musim haji lalu, seramai 67 orang daripada B40 dan M40 menolak Bantuan Kewangan Haji secara keseluruhan serta membayar penuh kos ke Tanah Suci.
"Manakala, seramai 396 jemaah telah membayar RM1,000 sehingga RM12,000 lebih daripada kadar bayaran haji yang ditetapkan.
"Ini berbanding musim haji lalu, di mana seramai 44 orang jemaah telah membuat bayaran penuh kos haji,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Syed Hamadah meminta umat Islam agar benar-benar mengetahui konsep tersebut kerana ia menjadi kewajipan untuk mematuhi hukum syarak sebelum mengerjakan haji.
Jelasnya, perkara tersebut istimewa kerana menuntut pengorbanan tinggi bermula dengan persediaan, di samping urusan ibadah yang mengambil masa lebih sebulan.
"Konsep istito’ah ini jelas disebut dalam al-Quran pada surah Ali ‘Imran ayat 97, di mana ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji bagi sesiapa yang mampu.
"Ia merupakan rukun Islam hanya diwajibkan kepada yang mampu dari segi kesihatan, kewangan, keselamatan dan mempunyai kebenaran untuk menunaikannya,” ujarnya.
Tambah beliau, jemaah juga perlu mempunyai kewangan cukup bayaran sepanjang perjalanan haji untuk membiayai kos termasuk semasa di Tanah Suci, di samping memastikan keluarga di tanah air mempunyai perbelanjaan harian yang mencukupi.
Menurutnya lagi, dari segi keperluan kesihatan, ibadah tersebut memerlukan individu untuk melakukan tawaf, sa’ie dan bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.
"Sebagai contoh, tawaf dan sa’ie sahaja melibatkan pergerakan sejauh empat sehingga enam kilometer (KM).
"Cuaca di Arab Saudi boleh mencecah hampir 50 celcius juga antara cabaran besar,” ulasnya.
Sementara itu, Syed Hamadah berkata, TH telah memulakan persiapan bagi musim haji 1445H/2024M.
Jelasnya, Kursus Asas Haji bagi musim tersebut telah bermula pada 27 Oktober lalu dengan modul sebanyak 13 siri dan diadakan di 206 masjid terpilih seluruh negara manakala Kursus Intensif Haji akan dianjurkan pada bulan Februari tahun hadapan.
"Ini akan diikuti dengan Kursus Perdana Haji yang akan diadakan pada bulan April 2024 untuk memberikan persediaan secukupnya kepada bakal jemaah haji dalam aspek ilmu agama pelaksanaan ibadah itu serta persiapan diri sebelum berangkat ke Tanah Suci,” katanya.