MEMANDU kenderaan atau menunggang motosikal tanpa lesen merupakan satu kesalahan serius lebih-lebih lagi apabila berlaku kemalangan yang meragut nyawa pengguna jalan raya lain.
Ini kerana mereka tidak menjalani latihan atau ujian memandu secara formal bagi mempelajari undang-undang trafik.
Pada masa sama, mereka tidak mengetahui tentang tanda jalan atau pemanduan defensif seperti yang diajar dalam pembelajaran semasa mengambil lesen.
Bukan hanya membahayakan diri sendiri, tetapi juga kepada orang lain.
Berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan, sekiranya disabit kesalahan, ibu bapa juga bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal mengikut mana-mana seksyen dalam akta tersebut.
Terbaharu, media melaporkan mengenai kejadian penunggang dan pembonceng motosikal maut selepas berlaku kemalangan dilanggar oleh sebuah kereta dipandu oleh remaja bawah umur berusia 16 tahun di Perai, Pulau Pinang.
Ini bukanlah insiden pertama yang menyebabkan kehilangan nyawa pengguna jalan raya lain disebabkan kecuaian ibu bapa tidak memantau aktiviti harian anak-anak.
Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan dan bertanggungjawab sepenuhnya bagi mendidik serta menasihati anak-anak untuk tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang negara.
Perlu diingatkan bahawa ibu bapa jangan ambil mudah mengenai perkara ini kerana mereka turut akan diheret ke muka pengadilan jika membenarkan remaja bawah umur memandu kenderaan.