IPOH - [DIKEMAS KINI] Pasukan Miracle Gaming dari Kuala Lumpur muncul juara dalam perlawanan akhir pertandingan e-Sukan, Mobile Legends (ML) sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Ahad.
Acara julung kali diadakan di bawah segmen Agro Millenia dikelolakan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) itu antara lain menyediakan platform bagi anak-anak muda menunjukkan bakat serta memupuk semangat berpasukan dalam permainan sukan elektronik yang semakin popular pada masa kini.
Miracle Gaming yang diwakili lima remaja berjaya menewaskan pasukan Watermelon 2-0 dan membawa hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000 selepas mengharungi lima perlawanan daripada keseluruhan 30 pasukan bertanding.
Ketua Pasukannya, Akmal Aqil Sarbani, 22, menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan utama sejak kumpulannya dibentuk hampir setahun lalu.
"Kemenangan ini juga menjadi inspirasi untuk menyertai pertandingan e-Sukan seterusnya yang akan berlangsung di Putrajaya bulan ini," katanya.
Selain Akmal Aqil, kumpulan Miracle Gaming turut dianggotai Lim Jin Gian, 18, Phan Junlarm, 15, Muhammad Hazril Haziq Khairol, 17, dan Hadi Hakimi Abu Bakar, 19.
Usaha Watermelon mempertaruhkan pemain pro dari Lunatix, Chong Wei Qian, 18, gagal membuah hasil apabila hanya menduduki tangga kedua dengan membawa hadiah bernilai RM1,000, trofi dan sijil penyertaan.
Tempat ketiga pula dimiliki oleh kumpulan FTSLR X Cecube manakala Extraordinary 7 memperoleh tempat keempat dan masing-masing membawa wang tunai berjumlah RM500 dan RM400 bersama trofi serta sijil penyertaan.
Kesemua hadiah disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim.
Hadir sama, Pengurus Besar Nekmat, Azrin Shah Ismail dan Timbalan Pengurus Besar NAFAS, Saripol Baharin Karim.
Pada majlis sama disampaikan 11 hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung dengan nilai keseluruhan RM10,000.
Hadiah utama berupa PlayStation 5 dimenangi Asmahanida Ahmad, manakala hadiah tempat kedua iaitu skuter elektrik menjadi milik Muhammad Ammar Abdullah.
Mohd Abdul Hakim Mohd Fiee pula membawa pulang GoPro Hero 10 untuk tempat ketiga, Tablet Honor dimiliki Mohammad Zaid Md Said (keempat) dan set memancing jenama Shimano dimenangi Muhammad Thaha Shariff (kelima).
Pengunjung yang hadir berpeluang bertemu penggiat profesional e-Sukan iaitu Sir Cloud dan Aiman Laphel yang memeriahkan acara menerusi sesi temu mesra.
Selain itu, pengunjung turut diberi peluang merasai pengalaman bermain permainan bola sepak FIFA 2024 secara percuma melalui platform PlayStation 5.
Sementara itu, Nik Mohd Shaharil ketika ditemui pemberita berkata, penganjuran e-Sukan mencapai matlamat apabila menjadi antara penyumbang besar tarikan golongan muda hadir ke HPPNK 2023.
Menurutnya, langkah itu selari dengan konsep HPPNK yang dibawa kali ini untuk meningkatkan penglibatan golongan muda dalam industri pertanian bagi menjamin keterjaminan bekalan makanan negara.
"Sebelum ini, mungkin ramai anak muda tidak tahu pun apa itu NAFAS dan NEKMAT atau peranan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu sendiri.
"Tetapi dengan adanya e-Sukan ini, ramai kalangan mereka mula membuat carian di internet dan mendapatkan maklumat di HPPNK untuk mengetahui lebih lanjut jabatan dan agensi di bawahnya.
"Idea sebegini kita cetuskan kerana di HPPNK 2023 turut diberi penekanan mengenai Agro Inovasi dan Teknologi yang mana kita tahu dunia hari ini, kecanggihan ini banyaknya dikuasai orang muda," katanya.
Sempena HPPNK 2023 yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat, NAFAS turut mengadakan jualan produk jenama Peladang dan input pertanian di segmen Agro Madani antaranya baja sebatian berskala kecil jenama Peladang, baja khas yang diformulasi untuk tanaman durian bagi peringkat anak benih dan kit pertanian bandar.
Di segmen Agro Teknologi dan Inovasi pula, pengunjung dapat melihat secara dekat jentera pelbagai fungsi yang direka khusus untuk kerja-kerja di sawah, ladang sawit dan kawasan pertanian.
Nekmat pula mengadakan promosi dan jualan hasil perikanan jenama ENNA di segmen Agro Madani dengan potongan harga dan kombo jualan istimewa untuk pengunjung HPPNK 2023.