KUALA LUMPUR - Isteri polis kerugian RM750 diperdaya barangan 'preloved' yang dijual menggunakan platform media sosial.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Elina, 30, berkata, dia tertarik membeli beg tangan jenama mewah berkenaan dan membuat pembelian secara ansuran melalui transaksi akaun bank sejak Julai lalu.
Bagaimanapun, menurutnya, selepas pembayaran penuh dibuat, pengendali Instagram berkenaan mendiamkan diri dan tidak membalas mesej yang dihantar.
"Sehingga kini beg yang dijanjikan tidak diterima. Saya kemudian membuat laporan polis kerana yakin telah diperdaya wanita tersebut.
"Pegawai penyiasat yang mengambil keterangan ada memberitahu, saya tak akan dapat wang semula cuma saya harap tiada orang lain kena scam dengan dia," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Elina berkata, dia yakin membuat pembelian tersebut susulan telah mengikuti Instagram wanita tersebut selama beberapa tahun.
"Satu grup Telegram menghimpunkan mangsa telah dibuat yang di dalamnya ada 70 orang dengan kebanyakan kes menggunakan taktik yang sama," katanya.
Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Rina memaklumkan, kerugian RM2, 800 ditipu wanita sama pada Ogos.
"Barang sampai tapi barang tiruan dari China. Saya dah semak ketulenan beg tersebut memang tidak asli, harganya hanya RM200.
"Beg tersebut diterima agak lewat kerana wanita itu memberi alasan duduk di kawasan apartmen yang lokasi agak jauh menyebabkan kurier datang hanya pada hari-hari tertentu sahaja," katanya.
Rina tidak menyangka menjadi mangsa scam kerana sebelum ini berpengalaman membeli barangan preloved dari peniaga atas talian lain yang ada antaranya bernilai mencecah RM10, 000.
"Sebelum beli dengan wanita ini, saya memang ikuti Instagramnya bagi ikuti perkembangan anaknya, jadi niat membeli itu dapat juga membantu dia menyara anaknya.
"Lepas saya buat transaksi RM2,800, wanita tersebut terus berkongsi gambar sedang bercuti. Masa itu timbul perasaan sama ada diri telah di scam, tapi tak sangka ia betul-betul terjadi," katanya.
Justeru, dia menasihatkan pengguna untuk lebih berhati-hati membuat pembelian secara atas talian susulan banyak kes penipuan dilakukan oleh peniaga.
"Pastikan pembelian ada resit dan jangan bayar habis (sehingga barang diterima). Sebaiknya pembelian dibuat secara bersemuka yang dijamin lebih selamat.
"Selain itu, lebih baik beli dengan peniaga yang pernah kita berurusan dan mempunyai rekod baik bagi mengelak risiko ditipu," katanya.