PERTUBUHAN ekonomi di rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang merangkumi 21 angota menunjukkan tanda-tanda bertambah baik, dengan unjuran pertumbuhan 3.3 peratus pada tahun ini berbanding 2.6 peratus pada 2022.
Menurut laporan APEC Regional Trend Analysis (Analisis Trend Serantau APEC) yang terkini, pemulihan pelancongan dan penggunaan domestik sedang memacu kegiatan ekonomi.
Walau bagaimanapun, kesan buruk akibat pandemik, inflasi, hutang yang lebih tinggi, perubahan iklim, perlindungan perdagangan, ketegangan geopolitik dan pemisahan ekonomi terus menyuramkan unjuran, jelas laporan itu yang dikeluarkan oleh Unit Sokongan Dasar APEC hari ini menjelang Minggu Pemimpin Ekonomi APEC.
Pengarah Unit Sokongan Dasar, Carlos Kuriyama berkata, terdapat tanda-tanda positif dalam APEC namun hal itu sedang menangani tempoh sukar dalam keadaan risiko negatif.
"Pertumbuhan ekonomi di rantau ini masih tidak sekata walaupun kita berharap kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
Inflasi susut kepada 3.4 peratus pada September 2023, berbanding kadar 6.6 peratus yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas, tambah laporan itu.
Laporan itu menjelaskan peningkatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan memberi amaran bahawa inflasi mungkin memburukkan ekonomi rantau ini terutama apabila sekatan eksport, isu melibatkan rantaian bekalan baja dan keadaan cuaca menjejaskan beberapa produk pertanian.
Ekonomi APEC ketatkan dasar monetari tangani inflasi
Penganalisis Unit Sokongan Dasar dan Pengarang Bersama laporan itu, Rhea C. Hernando berkata, untuk berjuang melawan inflasi yang degil, banyak ekonomi APEC telah mengetatkan dasar monetari dengan menaikkan kadar faedah.
Laporan itu menekankan kepentingan komunikasi yang jelas daripada penggubal dasar apabila melibatkan keputusan monetari untuk menguruskan jangkaan.
Kerajaan perlu mengekalkan kehematan fiskal dengan perbelanjaan bersasar untuk melindungi populasi rentan dan membina semula penampan fiskal, menurut laporan itu.
Beliau berkata, inflasi yang tinggi bukan hanya menyebabkan kos sara hidup lebih tinggi malah juga membawa kepada peningkatan kadar faedah dan menambah ketidaktentuan, yang memberi kesan kepada pelaburan dan penggunaan serta kemampanan hutang.
"Ini seterusnya boleh melemahkan pemulihan ekonomi pascapandemik,” tambah Hernando.
Kesan daripada persekitaran monetari yang lebih ketat di seluruh rantau ini, perdagangan mengalami penguncupan pada separuh pertama 2023, dengan volum dan nilai eksport masing-masing merosot kepada -3.5 peratus dan -7.1 peratus.
Tekanan inflasi dan kos pembiayaan perdagangan yang lebih tinggi ditambah dengan ketidaktentuan global telah mengakibatkan perdagangan lembap di rantau ini.
"Eksport dan import perdagangan barangan dijangka meningkat sedikit masing-masing sebanyak 0.1 peratus dan 0.3 peratus pada 2023 dengan unjuran pertumbuhan yang lebih optimistik untuk perdagangan barangan pada 2024 dan 2025 pada 4.3 hingga 4.4 peratus,” kata Penyelidik Unit Sokongan Dasar dan Pengarang Bersama laporan itu, Glacer Nino A. Vasquez.
Laporan itu turut menjelaskan bahawa masa depan perdagangan dalam APEC dikaburkan oleh pemecahan geoekonomi dan pertambahan langkah sekatan perdagangan, termasuk remedi perdagangan.
Peralihan demografi juga akan menimbulkan cabaran kepada ekonomi rantau ini kerana populasi semakin tua dan kadar kelahiran semakin menurun.
Ini bermakna golongan pekerja perlu menghadapi beban yang lebih besar dalam menyokong populasi yang semakin menua.
"Penyelarasan berbilang hala kekal penting untuk menangani perlindungan perdagangan, peningkatan hutang, perubahan iklim, peralihan ekonomi hijau dan gangguan rantaian bekalan.
"Kerjasama juga penting untuk menangani cabaran kompleks yang dihadapi rantau APEC,” kata Kuriyama dalam satu kesimpulan. - Bernama