SABAK BERNAM - Seorang tokan dadah berusia 31 tahun dicekup ketika sedang menanti pelanggannya di Bagan Sungai Burung, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, serbuan diketuai Inspektor Mohd Norizan Ramli pada jam 4.45 petang.
"Suspek yang dikejutkan dengan kehadiran polis tidak sempat melarikan diri.
"Pemeriksaan pada beg sandang dipakai suspek, polis menemui satu peket plastik besar lutsinar mengandungi ketulan dadah dipercayai heroin.
"Ketulan heroin dirampas seberat 225.8 gram dan dianggarkan bernilai RM6,700," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Sabak Bernam, di sini, semalam.
Nor Azmi berkata, hasil ujian air kencing, suspek didapati positif dadah jenis Morfin.
"Suspek juga memiliki rekod lampau jenayah dan narkotik kemudiannya ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 12 Januari depan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.