NCIA, kerajaan Kedah realisasi pelaburan RM7.7 bilion

Iklan
Muhammad Sanusi (tengah) mempengerusikan Mesyuarat JPN Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Isnin.

ALOR SETAR - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah merealisasikan pelaburan sebanyak RM7.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelaburan diterajui sektor pembuatan, pelancongan, logistik, pertanian dan ekonomi digital itu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selain mewujudkan hampir 3,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Kedah.

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri Kedah merakamkan penghargaan kepada NCIA atas dedikasi mereka memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Kedah.

"Komitmen mereka untuk memajukan inovasi, memupuk bakat tempatan dan mempromosikan pelaburan mampan dalam keusahawanan adalah penting dalam membantu Kedah menjadi sebuah negeri maju pada masa depan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Isnin.

Mesyuarat JPN diadakan untuk membincangkan perancangan penting dalam pelaburan dan pembangunan di Kedah, selain turut menyentuh kemajuan projek-projek yang sedang dilaksanakan.

Iklan

Pembangunan modal insan adalah bahagian penting dalam strategi NCIA dalam memacu pembangunan sosioekonomi dan meningkatkan ekosistem di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) khususnya untuk rakyat Kedah menerusi program Dana Usahawan (DU@NCER) dan Program Peningkatan Bakat NCER (NTEP).

Kedua-dua program ini menyokong sektor pelancongan daripada segi pendanaan pembangunan kemudahan pelancongan dan memastikan bekalan tenaga kerja terlatih yang mantap sejak dilancarkan pada 2019.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berpandangan,memupuk bakat tempatan bukan hanya mengenai pemerolehan kemahiran tetapi juga mengenai menyemai minda keusahawanan yang menyumbang secara proaktif kepada kerancakan ekonomi Kedah dan NCER secara keseluruhan.

"Melabur dalam bakat dan memupuk keusahawanan adalah langkah strategik menyediakan tenaga kerja tempatan dan ia bukan sahaja untuk mengisi peranan pekerjaan tetapi menjadi pencipta, inovator dan menjalankan perniagaan sendiri,"katanya.

Sejak 2019, program pembangunan modal insan NCIA telah membantu lebih 19,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Kedah dan seterunya menghasilkan lebih 2,300 pekerjaan baharu.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Pemberian (LoG) kepada Syarikat di bawah inisiatif DU@NCER iaitu Langkawi Skywalk Sdn Bhd, SMS Retreat Company Sdn Bhd dan syarikat Chenang Prima Resort Sdn Bhd,manakala syarikat PFCE Integrated Plant and Project Sdn Bhd (PFCE) bagi program NTEP di Kedah.