KUALA LUMPUR - Aktiviti sukan berkait rapat dengan tahap kesihatan, namun tanpa ilmu ia boleh menjadi 'bom jangka’ yang mengundang risiko sehingga mengakibatkan kecederaan serius dan ada kalanya menyebabkan kehilangan nyawa.
Baru-baru ini, arena sukan tanah air digemparkan dengan kematian seorang peserta kejohanan triathlon di utara tanah air dengan mangsa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum meninggal dunia.
Mengulas senario itu, Pakar Perubatan Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata, kecederaan serius dialami individu boleh disebabkan kekurangan latihan, termasuk kemungkinan mengabaikan beberapa aspek keselamatan seperti aktiviti memanaskan badan (warming up) sebelum bersukan.
Beliau berkata, selalunya golongan yang baru menceburi bidang sukan lebih berisiko terdedah dengan kecederaan berbanding atlet profesional atau mereka yang aktif bersukan.
"Orang selalu pelik, bagaimana mereka yang aktif bersukan boleh meninggal dunia ketika bersukan. Untuk kes seperti ini, kajian agak kurang tapi berisiko tinggi untuk mereka yang ada masalah jantung.
"Kita dapati punca kematian bagi dua kategori, lebih 35 tahun sebab atherosclerosis iaitu salur darah jantung tersumbat. Bagi bawah umur 30 tahun adalah disebabkan electrical sistem jantung dan struktur jantung ada masalah,” katanya.
Di sebalik risiko berkenaan, beliau berkata, aktiviti sukan dan bersenam penting untuk kesihatan individu, dan menyarankan agar bersenam selama 150 minit seminggu atau 30 minit untuk setiap lima hari seminggu.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, selain kekurangan latihan, sikap keghairahan individu ketika melakukan aktiviti juga boleh menyumbang kepada tercetusnya kemalangan atau kemudaratan terhadap mereka.
"Kalau atlet profesional mereka tahu bila nak berhenti kerana mereka tahu acara itu takkan tamat di situ... banyak lagi kejohanan. Tetapi kalau atlet amatur ini, kepuasan mereka adalah bila dapat pingat, jersi dan duit.
"Jadi mereka ini akan beraksi lebih daripada had kemampuan walaupun badan sebenarnya dah tak mampu. Indikator had keupayaan berbeza bagi setiap individu namun simptom yang lazim berlaku antaranya seperti kekejangan otot dan pening kepala,” katanya.
Pegawai Fisiologi ISN, Chee Lee Ming pula berkata, dengan kemajuan sains sukan ketika ini, isyarat keupayaan had badan seseorang itu dapat diukur dengan mudah menerusi pemakaian alat seperti smart watch ketika bersukan.
"Kini banyak teknologi boleh digunakan, satu daripadanya heart rate variability (HRV) yang boleh didapatkan menerusi aplikasi telefon pintar secara percuma atau berbayar. HRV ini adalah ukuran durasi masa antara jantung dan juga digunakan untuk ukur multiplying stress untuk sesuaikan badan dengan latihan dan aktiviti seharian.
"Ia juga boleh bantu seseorang untuk memeriksa sama ada badan mereka itu bersedia atau tidak untuk melakukan aktiviti sukan,” katanya. - Bernama