SAN FRANCISCO - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, akan menekankan kepentingan kerjasama serantau dan membina daya tahan ekonomi di rantau ini dalam keadaan cabaran pascapandemik dan geopolitik.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC kali ke-30 di sini dari 14 hingga 17 November 2023.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan rasmi itu berkata, Malaysia menumpukan perhatian kepada APEC memandangkan kedudukan negara adalah menyokong APEC untuk menjadi lebih terbuka dan telus.
"Kerjasama diperlukan untuk melonjakkan ekonomi, terutama bagi Malaysia (dengan tumpuan akan diberikan kepada) ekonomi digital, ekonomi hijau serta ekonomi halal.
"Penting untuk membawa ekonomi utama ke meja (perbincangan) demi kestabilan, yang penting untuk pertumbuhan global,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini sebelum ketibaan Anwar pada Selasa 14 November 2023 (waktu Malaysia).
Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta pegawai kanan kerajaan yang lain.
Tengku Zafrul berkata, bagi Malaysia, harapannya adalah ekonomi anggota APEC akan bersatu mengenai cara untuk kerjasama serantau dan penyepaduan ekonomi boleh diperkukuh.
"Supaya menjadi lebih terbuka, berdaya tahan dan lebih dinamik serta ekonomi yang lebih berdaya tahan dan komuniti Asia yang lebih aman menjelang 2040, yang sejajar dengan Visi Putrajaya 2040 APEC,” katanya.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan sepanjang penglibatan dengan Pemimpin Ekonomi APEC dan di pelbagai platform pelbagai hala dan dua hala, Anwar berhasrat untuk mengetengahkan situasi di Palestin, meraih sokongan global, akses kemanusiaan, dan penyelesaian yang adil.
Perdana Menteri juga akan mengambil peluang untuk berkongsi keutamaan dan prinsip Malaysia di mengikut Rangka Kerja Ekonomi MADANI, menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan kerjasama untuk kemakmuran bersama, jelasnya dalam kenyataan.
"Semasa di San Francisco, Perdana Menteri dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke Dialog Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu, iaitu pemimpin Colombia, Fiji dan India; Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC; dan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2023.
"Penglibatan dalam acara ini akan menjadi peluang kepada Anwar untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai ekonomi global semasa dan bertukar pandangan mengenai isu serantau yang mendesak dengan CEO yang berpengaruh, usahawan dan pemimpin APEC.
Antara acara penting dalam rangka lawatan tersebut adalah Perdana Menteri akan menyampaikan syarahan umum kepada pelajar dan sarjana di University of California, Berkeley dengan memfokuskan kepada ‘Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific - The View from Southeast Asia’.
Dalam memberikan gambaran keseluruhan keadaan geopolitik, Anwar juga akan menyentuh mengenai demokrasi, kebebasan berperlembagaan dan Islamofobia, tambahnya.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, selaku Pengerusi APEC untuk 2023, Amerika Syarikat akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) buat kali ketiga, selepas 1993 dan 2011 di Blake Islands dan Honolulu.
Tahun ini, Presiden Joseph R. Biden akan mempengerusikan AELM dan dijangka mengetuai perbincangan mendalam dengan pemimpin APEC mengenai topik yang berpusat kepada pengukuhan hubungan ekonomi; meningkatkan keterangkuman dan kemampanan; dan mengukuhkan daya tahan dan kerumitan ekonomi; selaras dengan tema APEC 2023,"Membina Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua”.
"AELM ke-30 dijangka menerima pakai Deklarasi Golden Gate 2023 Pemimpin APEC, yang mencerminkan komitmen Ekonomi APEC dalam menangani cabaran global dan memajukan usaha ke arah merealisasikan Visi Putrajaya 2040 APEC,” tambahnya.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan penerimaan Deklarasi Golden Gate ini adalah penting kerana menekankan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan Ekonomi APEC, terutama yang berkaitan dengan kebimbangan berterusan antara lainnya, krisis iklim dan gangguan rantaian bekalan.
"Sebagai Ekonomi pengasas APEC, penglibatan aktif Malaysia semasa Mesyuarat Ke-30 Pemimpin Ekonomi APEC akan menekankan komitmen Malaysia ke arah mengukuhkan kerjasama ekonomi, meningkatkan kemakmuran ekonomi dan memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif untuk semua.
Sebelum pulang ke Malaysia, Perdana Menteri akan menghoskan majlis makan malam dengan diaspora serta pelajar Malaysia yang berada di San Francisco, menurut Pejabat Perdana Menteri. - Bernama