KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman akan mengambil tindakan saman terhadap pihak yang memfitnah beliau menerima sogokan atas tindakannya menyokong kerajaan.
Suhaili menegaskan bahawa beliau tidak mengkhianati atau meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Saya tidak tinggalkan parti, jadi saya tidak khianat. Saya juga ingin nyatakan di sini, bahawa ada fitnah dilontarkan kepada kami berempat yang kami ini menerima sogokan RM4 juta hingga RM6 juta.
"Saya akan bawa perkara ini ke mahkamah dan akan saman individu-individu yang buat kenyataan fitnah di akhbar baru-baru ini.
"Saya akan minta dia buktikan, mana bukti kami disogok. Kalau tidak, saya akan saman malu," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.
Ditanya lanjut bila tindakan itu akan diambil, beliau memaklumkan ia akan dibincangkan bersama tiga lagi ahli Parlimen lain berhubung perkara tersebut.
"Pertama, kami akan bincang antara empat orang, kerana kami telah mengambil ketetapan untuk menyokong kerajaan tanpa meninggalkan parti," katanya.
Pada 30 Oktober lalu, Suhaili mengumumkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.
Selain Suhaili, tiga lagi ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik turut mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar, namun tetap akan taat, setia serta kekal sebagai ahli Bersatu.
Sementara itu, Suhaili menolak dakwaan berpakat dengan tiga ahli Parlimen berkenaan untuk menyokong kerajaan, sebaliknya menjelaskan bahawa tidak mengenali mereka dengan dekat.
"Tidak. Kuala Kangsar dulu (nyatakan sokongan), baru saya. Yang penting dua lagi saya tidak kenal pun. Kenal begitu saja. Tidak pernah berbincang bagaimana pula kami berpakat.
"Tolong jangan pandang rendah wibawa ahli Parlimen, mereka mampu ambil keputusan. Kami tidak perlu berpakat," katanya.
Ditanya berhubung dakwaan ada kelompongan dalam Akta Anti Lompat berhubung tindakannya itu, beliau berkata, akta itu bukan digubal olehnya.
"Itu saya tidak tahu. Saya sendiri tidak membaca Akta Anti Lompat ini dengan jelas. Apa yang saya tahu, kalau kita keluar parti.
"Saya tidak keluar parti dan bila itu membenarkan saya sokong, bukan salah saya, yang mengubal Akta Anti Lompat ini bukan saya, bukan kami ahli-ahli Parlimen, tetapi kerajaan ketika itu.
"Jadi kalau ditakdirkan ada kelompangan, itu rezeki kamilah," katanya.