KOTA BHARU - Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Klir Mohd Nor sedia berdepan dengan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di Parlimen jika beliau menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini.
Menurut beliau, Raja Mohamed Affandi merupakan rakan sekelasnya semasa di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS).
Iklan
Iklan
"Dia kawan saya, hendak komen lebih-lebih tidak bolehlah. Lagipun dia dari parti lain.
"Saya pun terkejut beliau jadi calon, kalau ada kepentingan untuk ATM baguslah," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Klir berharap Raja Mohamed Affandi akan memberikan sokongan kepada veteran ATM sebagaimana usaha yang dilakukannya di Parlimen.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Raja Mohamed Affandi diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Parlimen Kemaman.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan perkara itu berkata, keputusan tersebuat adalah hasil persetujuan BN dan UMNO Terengganu, selepas yakin Raja Mohamed Affandi mampu membawa perubahan di Kemaman.