PERANG yang berlaku di Semenanjung Gaza sejak sebulan lalu masih hangat diperkatakan dan tindakan Israel cuba menghapuskan rakyat Palestin menjadi perhatian dunia.
Justeru, sebagai tanda solidariti buat Palestin, banyak negara sudah mula melancarkan 'perang' boikot terhadap jenama atau produk antarabangsa yang menyatakan sokongan terhadap Israel.
Namun tindakan segelintir selebriti sama ada dalam mahupun luar negara yang masih secara terang-terangan memberi sokongan terhadap jenama antarabangsa telah menimbulkan kemarahan warga maya.
Antara yang menerima tempias itu adalah pelakon tersohor, Tan Sri Michelle Yeoh.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, pelakon yang kini mencipta nama di persada antarabangsa itu mengumumkan beliau kini menjadi duta kepada sebuah jenama fesyen popular antarabangsa.
Keputusan Michelle yang selama ini tidak pernah terpalit dengan kontroversi itu menimbulkan kemarahan dan kritikan ramai.
Rata-rata tidak bersetuju dengan keputusan figura berusia 61 tahun itu menjadi duta kepada jenama yang penuh kontroversi, termasuk mengeksploitasi kanak-kanak dan seks ganas sebagai model kempen fesyen.
Bagaimanapun sehingga kini, Michelle tidak memberi sebarang respons berkaitan keputusannya itu.