PENGURUS Fazura iaitu Iman Tang membida gitar milik anggota kumpulan Sheila On 7 (SO7), Eross Candra pada Konsert Tombo Aji Ridha Ilahi-Opick Dan Sakti Live In Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.
Lebih istimewa, gitar yang dibawa oleh bekas anggota SO7, Salman Al-Jugjawy atau dikenali sebagai Sakti dibida pada harga RM11,000 itu turut mempunyai tanda tangan Eross, Opick dan Sakti.
Pada awalnya, instrumen yang disifatkan unik dan 'rare' itu dijual pada harga RM3,000 tetapi akhirnya dibida pada harga RM11,000 oleh Iman Tang.
Wang hasil bidaan itu disumbangkan ke tabung Palestin yang ada di Malaysia untuk membantu rakyat Gaza.
Terdahulu, Sakti bersama Opick serta beberapa penyanyi popular tempatan seperti Amir Masdi, Zizi Kirana, UNIC, Nur Fazura, Adi Priyo dan Yabang Khalifah bersama-sama berganding bahu menghiburkan peminat di Kuala Lumpur menerusi Konsert Tombo Aji Ridha Ilahi- Opick Dan Sakti.
Kemunculan Sakti yang juga bekas pemain gitar SO7 ternyata menarik perhatian ramai kerana sudah lama tidak membuat persembahan selepas memilih untuk mendalami agama Islam.
Tidak hanya sekadar bermain gitar, Sakti turut menyampaikan beberapa beberapa buah lagu termasuk Sephia yang diubah menjadi lirik ketuhanan.