BANGKOK - Umat Islam di Pattani di selatan Thailand turut bersolidariti bersama penduduk di Palestin yang dizalimi rejim Zionis Israel.
Lebih 6,000 umat Islam di Pattani menghadiri solat hajat di Masjid Jamek Pattani baru-baru ini untuk mendoakan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Palestin.
Majlis anjuran Perhimpunan Masyarakat Sivil untuk Kedamaian (CAP) dengan kerjasama Pejabat Jawatankuasa Islam Wilayah Pattani dan Pusat Tadika Wilayah Pattani (PUSTAKA) itu juga bertujuan memohon keberkatan untuk umat Islam di Palestin.
Pada majlis itu, CAP mengemukakan tiga tuntutan termasuk supaya Israel segera menamatkan serangan ketenteraan terhadap rakyat Palestin.
"Masyarakat antarabangsa harus menekan Israel melalui jalur diplomasi atas prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa mengenai peperangan dan memohon sesama umat Islam di seluruh dunia"tidak berdiam diri” dan berdoa untuk Palestin,” menurut CAP dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Setiausaha Agung CAP, Sharif Mustofa Sa-i berkata, sebagai penganjur, CAP mewujudkan ruang untuk semua orang di kawasan itu berkumpul untuk menyatakan sokongan buat rakyat Palestin.
"Selepas ini, saya berharap perhimpunan serupa ini akan tersebar dengan lebih meluas di seluruh rantau ini.
"Isu Palestin bukan sahaja isu kemanusiaan. Ia juga isu agama. Saya ingin berpesan kepada seluruh rakyat Thailand bahawa kita harus mengkaji maklumat dan sejarah dengan kritis dan teliti. Janganlah kita wujudkan kebencian,” katanya pada majlis itu. - Bernama