4 hari tak pulang ke rumah, lelaki ditemukan mati dalam pejabat

Iklan
Mangsa ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di pejabatnya di Bandar Laguna Merbok pada malam Ahad. Gambar kecil: Faizuri

SUNGAI PETANI - Tanda tanya seorang lelaki tidak pulang ke rumah sejak empat hari lepas akhirnya terjawab selepas dia ditemukan meninggal dunia di pejabatnya di Bandar Laguna Merbok di sini pada malam Ahad.

Mayat bekas pengurus kilang, Faizuri Md Akhir, 51, ditemui dua anak lelakinya kira-kira jam 7.22 malam dalam keadaan tertiarap di ruang pejabat berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut anaknya, Abd Afham Asyraf, 28, berkata, bapanya keluar pada pagi Khamis lepas dari rumah mereka ke pejabatnya di Sungai Petani.

Abd Afham berkata, bagaimanapun bapanya didapati masih tidak pulang ke rumah mereka di Taman Desa Aman, Guar Cempedak sehingga Jumaat lepas.

Iklan

"Saya serta ibu, Ramnah Sabdli, 52, beranggapan bapa pergi menziarahi nenek di Pokok Asam, Taping, Perak kerana selalunya setiap hujung minggu bapa akan berbuat demikian.

"Namun menghairankan apabila bapa tidak pula menghantar mesej memaklumkan keberadaannya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada Isnin.

Iklan

Abd Afham berkata, mereka sekeluarga juga bimbang apabila talian telefon bapanya tidak dapat dihubungi.

Katanya, dia kemudiannya tergerak hati untuk menelefon neneknya pagi Ahad, namun terkejut apabila dimaklumkan bapanya tiada di sana.

Menurutnya, dia dan ibunya turut membuat panggilan kepada waris terdekat termasuk kenalan, namun semua mereka tidak mengetahui keberadaan bapa.

Abd Afham berkata, dia dan adiknya, Amirul Solihin,19, bergegas ke pejabat bapa mereka pada sebelah petang sebelum mendapati kereta jenis Hyundai Matrix berada di tempat parkir di bawah pejabatnya.

Katanya, dia bersama adiknya bertindak memecah pintu pejabat disewa bapa mereka dan terkejut apabila mendapati bapanya sudah meninggal dunia lalu memaklumkan kepada pihak polis.

Menurut Abd Afham, bapanya membuka syarikat sendiri untuk mengajar operator kilang terlibat dalam bidang automotif selepas berhenti kerja sebagai pengurus di sebuah kilang kenderaan di Kulim setahun lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima menerima maklumat kejadian tersebut.

Beliau berkata, pihaknya kemudiannya menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dengan keadaan mayatnya telah mengelupas dan berbau.

Bagaimanapun, Zaidy memaklumkan, pemeriksaan awal ke atas mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Beliau menambah, hasil siasatan mangsa yang dipercayai telah mati lebih 24 jam lalu dan hasil temu bual dengan anaknya mendapati mangsa mempunyai sejarah rawatan sakit jantung.

Sehubungan itu, menurut Zaidy, mayat lelaki terbabit dihantar untuk bedah siasat di HSAH dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.