'Mereka menunggu dibunuh, anak kecil dalam buaian pun dibunuh'

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai serangan tanpa henti rejim Israel di Semenanjung Gaza memburukkan lagi krisis kesihatan mental kanak-kanak, apabila tiada lagi perkhidmatan kesihatan mental. Gambar kecil: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan para pemimpin dunia Islam perlu bertindak lebih agresif dalam menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Mengambil contoh ketika Perang Bosnia, beliau berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika itu membenarkan permintaan untuk meletakkan pasukan pengaman, tetapi perkara sama tidak dilakukan di Palestin.

Iklan
Iklan

"Tak ada orang yang nak lindung orang Palestin, mereka terdedah kepada pembunuhan.

"Mereka menunggu dibunuh, anak kecil dalam buaian pun dibunuh... apa jenis manusia ini? Bolehkah dunia tengok?

Iklan

"Saya telah hilang kepercayaan pada kemanusiaan. Kita kononnya bertamadun, tamadun apa orang kena bunuh kita tengok?," kata Dr Mahathir pada Isnin.

Dr Mahathir berkata demikian dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketiadaan tindakan untuk menyekat pembunuhan oleh Israel ke atas Gaza kerana rasa takut kepada Amerika Syarikat (AS).

Ditanya sama ada beliau gembira dengan kepimpinan dunia Islam dalam menangani isu Palestin, Dr Mahathir bagaimanapun enggan mengatakan"ya atau tidak".

Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu memaklumkan pemimpin dunia Islam seharusnya mengambil tindakan yang sepatutnya.

"Saya harap mereka bertindak lah, tak boleh ke (buat) apa-apa... Dulu bila ada masalah, mereka potong bekalan minyak, buat OPEC (Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum)... ada juga tindakan.

"Apa jadi kepada ini? Tetapi mereka terus jual minyak dan lakukan dagangan (dengan Israel)," tambah Dr Mahathir.

Dalam masa yang sama, Dr Mahthir berkata, beliau tidak menjangkakan bahawa negara Islam boleh menormalisasikan hubungan dengan Israel, seperti mana yang berlaku pada masa ini.

Sementara itu menjawab soalan Khairy mengenai apa tindakan jika Dr Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri dan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC, beliau berkata:

"Saya akan beritahu mereka (OIC) untuk menyokong Hamas dan Palestin serta mengambil tindakan untuk menghentikan Israel daripada melakukan pembunuhan beramai-ramai.

"Ini bukan satu benda yang dihalalkan, (tetapi) ia satu jenayah yang cukup besar."

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC kali kelapan di Riyadh, Arab Saudi bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin. - Awani