Mesej terakhir sebelum dibom Israel

Iklan
Pengeboman tanpa henti Israel menyebabkan kawasan kejiranan di utara Gaza bertukar menjadi padang jarak, padang tekukur.

PENGEBOMAN tanpa henti Israel ke atas Genting Gaza lebih tiga minggu lalu telah meratakan seluruh kawasan kejiranan dan menyebabkan wilayah Palestin yang terkepung itu bertukar menjadi padang jarak padang tekukur.

Angka kematian akibat kegilaan rejim Zionis juga telah melepasi 11,000 orang termasuk lebih 4,500 kanak-kanak kerana tempat selamat seperti masjid, gereja, pusat media, hospital dan pasar raya kebanyakannya telah dibom.

Iklan
Iklan

Akibat diserang dari segenap penjuru dan ketiadaan gencatan senjata, maka tidak hairanlah ramai penduduk Gaza yang tidak berdaya menjadikan platform media sosial seperti X (dahulunya Twitter) dan Instagram sebagai tempat menyuarakan rintihan mereka.

Bagaimanapun, hanya teks, suara atau video mereka sahaja yang 'hidup' kerana orang yang menyiarkannya telah terbunuh dalam serangan udara.

Iklan

Malah, ramai yang memuat naik gambar atau cerita ringkas di X dan Instagram dengan nota bahawa ia mungkin mesej terakhir mereka.

Haytham Harara, seorang wartawan di pejabat media kerajaan Gaza telah dibunuh pada 3 November lalu dan salah satu mesej terakhirnya dimuat naik di X pada 13 Oktober.

Antara mesej Haytham Harara yang dimuatnaik di X sebelum dia terbunuh ketika membuat liputan di luar pekarangan Hospital Al-Shifa pada 3 November lalu.

Iklan

Ia berbunyi:"Kami tidak akan pergi, kami tidak akan diasingkan dan kamu tidak akan melihat apa-apa daripada kami selain keteguhan, kepastian dan ketabahan. Jika kami berhijrah, maka ia adalah penghijrahan untuk bertemu ALLAH, Tuhan sekalian alam."

Haytham disahkan meninggal dunia semasa dikejarkan ke Hospital Al-Shifa, salah satu kemudahan kesihatan terbesar di utara Gaza di mana terdapat beribu-ribu penduduk mendapatkan rawatan dan berlindung daripada pengeboman Israel yang berterusan.

Dunia hanya memerhati

Seorang lagi penduduk Gaza, Dr Asmaa al-Ashqar yang bertugas di Hospital Al-Quds merekodkan mesej hanya 24 jam sebelum dia terbunuh dalam serangan udara Israel.

Dalam rakaman suara yang penuh emosi, dia mengatakan bahawa Gaza sedang dihapuskan dan dunia hanya memerhatikan tanpa mengambil sebarang tindakan.

Pengguna platform X, @AstroLoay berkongsi mesej suara terakhir Asmaa Al-Ashqar seorang doktor di Hospital Al-Quds sebelum dia maut dalam serangan udara Israel.

"Kami tidak memerlukan apa-apa daripada anda (negara-negara Arab). Israel memanggil kami haiwan, Biden (Presiden AS, Joe Biden) bercakap tentang kemanusiaan dan mempertahankan Israel tetapi tidak melihat apa yang berlaku kepada kami. Kami dibunuh satu demi satu dan dunia hanya hanya memerhati," katanya.

Di akhir rakaman suara itu, Asmaa berkata:"Siapa yang akan membantu Gaza? Kami hanya ada ALLAH."

Grup WhatsApp keluarga

Mangsa yang terselamat pula berkongsi tangkap layar mesej terakhir dalam grup WhatsApp keluarga, sekali gus menjadi penawar kesengsaraan akibat kehilangan orang tersayang.

Salah satu tangkap layar grup WhatsApp keluarga yang dikongsi di media sosial telah meruntun hati netizen.

Ia merakam perbualan salah seorang ahli keluarga yang bertanya tentang situasi di bahagian berlainan di Gaza.

Salah satu mesej grup WhatsApp keluarga mangsa pengeboman Israel di utara Gaza.

"Hanya beberapa orang terbunuh di Al Nakhl, rumah lain telah dibom," menurut mesej tersebut.

Tiada siapa yang membalas mesej yang dihantar Hiba Abu Nada pada 20 Oktober itu.

Hiba meninggal dunia pada tarikh sama tidak lama selepas dia menghantar mesej terakhir dalam grup WhatsApp keluarganya. - Agensi