SERAMAI lima anggota tentera Amerika Syarikat (AS) terkorban dalam nahas helikopter terhempas di timur Mediterranean.
Menurut ketenteraan AS, helikopter itu mengalami kemalangan ketika mengisi minyak yang merupakan sebahagian daripada rutin latihan harian.
Tentera AS meningkatkan operasi di rantau berkenaan sejak perang Palestin-Israel tercetus.
Dalam pada itu, Presiden Joe Biden menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Katanya, kesemua mereka meletakkan jiwa dan raga sepenuhnya semasa menjalankan tugas setiap hari dan negara kehilangan wira hebat seperti mereka.
Tambah beliau, negara akan terus mengingati jasa dan sumbangan mereka pada negara.
Selain itu, pihak berkuasa AS tidak memaklumkan dari mana helikopter itu berlepas atau lokasi nahas.
Pada bulan lalu, AS mengerahkan dua kapal pengangkutnya, termasuk kapal perang dan jet pejuang ke timur Mediterranean.
Langkah itu sebagai reaksi AS terhadap konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel, selain kebimbangan situasi tegang itu merebak ke rantau berkenaan.
Terdahulu, Washington menzahirkan kebimbangan apabila pertempuran antara kumpulan Hezbollah yang disokong Iran dengan tentera Israel semakin meningkat.
Hal ini kerana Hezbollah turut mengecam operasi ketenteraan Zionis di Gaza. - Awani