PERSEKUTUAN Bolasepak Australia (FFA) percaya negara itu mampu membantu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjadikan Piala Dunia Kelab baharu instrumen global ketika badan pengelola bola sepak Australia tersebut berusaha mengambil bahagian dalam proses pembidaan.
Australia bulan lalu memilih untuk tidak membida Piala Dunia 2034 selepas berdepan saingan sensasi Arab Saudi, yang merupakan satu-satunya pembida untuk temasya terbesar sukan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif FFA, James Johnson percaya Piala Dunia Kelab Amerika Syarikat yang menghimpunkan 32 pasukan baharu, untuk debut pada 2025, akan lebih daripada mengimbangi kehilangan temasya terbesar kelab global tersebut.
"Saya sangat teruja dengan ini apabila terdapat peluang di sana. Sebanyak 32 pasukan, 64 perlawanan, bermain selama sebulan.
Ketika ini Piala Dunia Kelab semasa yang dijelmakan pada tahun 2000 menampilkan tujuh kelab daripada enam konfederasi bergelut untuk menarik perhatian komuniti bola sepak global.
FIFA sebelum itu mengumumkan Amerika Syarikat akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Kelab berwajah baharu menampilkan 32 pasukan pada edisi 2025.
Edisi baharu kejohanan akan menampilkan 12 pasukan Eropah, enam dari Amerika Selatan, serta masing-masing empat wakil dari Asia, Afrika dan CONCACAF.
Oceania juga diberikan satu slot dan tuan rumah dijamin satu tempat dalam temasya itu, manakala wakil dari Eropah termasuk pemenang lima edisi terakhir Liga Juara-Juara.
Pada masa sama Johnson percaya dengan kehadiran 12 kelab elit Eropah dan lapan pasukan teratas dari Amerika Selatan, akan memberi impak prestij kejuaraan di edisi AS itu.
"Persaingan perlu dibina. Kami tidak sabar untuk melihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat pada 2025.
"Australia percaya bahawa kami boleh membantu membina persaingan itu, membawanya ke tahap baharu, seperti yang kami jelmakan dengan Piala Dunia Wanita sebelum ini," katanya.
Mengenai hasrat Australia membida penganjuran temasya, Johnson berkata,"Australia adalah pasaran yang hebat untuk kelab Eropah tambahan pula pelbagai kelab Eropah mengadakan pramusim di sini.
"Kami tahu mampu memenuhi stadium kerana tidak pernah menghadapi masalah dengan penjualan tiket dalam mana-mana sukan. Kami juga berada di rantau yang hebat untuk penyiaran. Ia adalah kawasan terbaik untuk kelab dari segi jenama mereka.
"Saya fikir mempunyai edisi di Amerika dan kemudian di Asia, anda akan dapat melakukan promosi silang dan ia satu pakej yang bagus untuk memulakan dua edisi pertama Piala Dunia Kelab."