REZEKI bintang sensasi, Cristiano Ronaldo yang berkelana di Arab Saudi hampir setahun apabila semakin hampir bergelar bilionair.
Pemenang lima kali Ballon d'Or itu yang beraksi dalam saingan Liga Pro Saudi sudah mengumpul kira-kira 153 juta pound (RM884.5 juta).
Apa tidaknya, kapten Portugal itu mengikat kontrak bernilai 177 juta pound (RM1.02 bilion) pada akhir Disember 2022.
Secara purata Ronaldo mengisi poketnya dengan gaji sebanyak 3.4 juta pound seminggu (RM19.64 juta) dari kelab yang diwakilinya, Al-Nassr.
Penghijrahannya membawa impak besar buat negara Timur Tengah itu apabila mengundang kehadiran ramai bintang Eropah.
Ia termasuk bintang Brazil Neymar, Sadio Mane, Roberto Firmino, Karim Benzema, Jordan Henderson, Riyad Mahrez, Allan Saint-Maximin dan Ruben Neves.
Bagaimanapun, dalam kalangan pemain itu belum ada yang mampu menandingi pendapatan Ronaldo dalam kancah liga tersebut.
Penampilan pemain berusia 38 tahun itu berbaloi buat Al-Nassr apabila dia sudah menyumbat 36 gol daripada 42 penampilan untuk membantu kelabnya berada di tangga kedua liga selepas 13 perlawanan.
Ibarat pepatah, ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi apabila anak lelakinya, Cristiano Jr turut mengikut langkah Ronaldo apabila menyertai akademi remaja Al-Nassr.
Ketika Ronaldo bermain bersama Juventus dan Manchester United, Cristiano Jr turut menyertai akademi kelab tersebut.
Malah lebih menarik, selain memakai jersi nombor tujuh seperti bapanya, Cristiano Jr turut mempamerkan potensi menakjubkan apabila terpilih mewakili skuad bawah 15 tahun Al-Nassr.