[VIDEO] Tiga mangsa rentung selepas hantar kari dal ke rumah nenek

Iklan

IPOH - Tiga lelaki yang rentung dalam nahas kereta dan lori sampah di kawasan Perindustrian Bercham, dekat sini pada Isnin dalam perjalanan pulang selepas menghantar hidangan raya, kari dal ke rumah nenek mereka.

Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, M Krishna, 20, dan adiknya, Pavilesh, 16, bersama sepupu, NK Subash Varman, 16, maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Proton Perdana dinaiki terbakar.

Iklan
Iklan

Bapa mangsa, M Manimaran, 50, berkata, dua anak lelakinya itu keluar dari kediaman mereka di Taman Cempaka sekitar jam 5.30 petang membawa bersama bekalan makanan yang dimasak isterinya sempena Deepavali.

Manimaran menunjukkan gambar dua anak lelakinya, Krishna dan Pavilesh (gambar kecil) yang terkorban dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan lori sampah di Kawasan Perindustrian Bercham pada Isnin.

Iklan

"Nenek mereka tinggal seorang diri di Taman Perpaduan dekat Tambun, siap sahaja masak, isteri saya minta mereka hantar. Jadi mereka minta izin keluar untuk hantar makanan itu.

"Saya benarkan sebab memang selalu tiap-tiap minggu mereka akan hantar makanan ke sana," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini pada Selasa.

Iklan

Manimaran berkata, dia mula rasa tidak sedap hati apabila usaha menghubungi anaknya sekitar jam 8 malam gagal.

Bimbang sesuatu kejadian buruk berlaku, dia kemudiannya segera ke balai polis bagi mendapatkan maklumat kemungkinan anaknya terlibat kemalangan.

"Selalu tak macam ni, biasanya lepas hantar makanan, mereka akan balik terus. Saya pergi ke balai sebab takut kalau-kalau anak kemalangan.

Ahli keluarga tidak dapat menahan kesediahan ketika proses tuntutan mayat di Jabatan Forensik HRPB pada Selasa.

"Polis dapat kenal pasti alamat berdasarkan nombor pendaftaran kereta dan kad pengenalan anak saya yang tidak terbakar," katanya.

Manimaran berkata, kehilangan dua anak sekali gus benar-benar memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga apatah lagi masih dalam suasana perayaan.

Katanya, Krishna yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik banyak membantu menyara keluarga dengan bekerja di kedai aksesori kereta.

"Mereka anak yang sangat baik, disenangi rakan dan jiran-jiran, tak pernah buat jahat atau kacau orang.

"Sedih menang sedih, tetapi kami kena terima yang mereka sudah tiada," katanya.

Sementara itu, bapa kepada Subash Varman, L Nantha Kumar, 41, menyifatkan anak sulung daripada dua beradik itu seorang yang berdikari dan bertanggungjawab terhadap keluarga.

Ujarnya, anaknya itu sanggup berhenti sekolah awal dan mengambil upah sebagai pekerja kontrak untuk membantu keluarga.

"Ketika kejadian, saya tak tahu dia telah keluar rumah sebab telefon dan dompet miliknya tidak dibawa bersama.

"Kehilangannya amat mengejutkan kami, lebih-lebih lagi isteri yang masih bersedih," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal mendapati, kereta dinaiki mangsa hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum bertembung dengan sebuah lori sampah yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran itu, kereta dinaiki mangsa terperosok di bawah lori sampah dan terbakar mengakibatkan ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu lori bersama empat lagi pekerja tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.