Pendedahan buktikan Tun M tak ikhlas kerjasama dengan DAP - Anthony

Iklan
Anthony Loke

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengakuan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau hanya mempergunakan DAP untuk menjatuhkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2018, membuktikan bekas Perdana Menteri itu tidak pernah ikhlas bekerjasama dengan parti itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu bertentangan dengan parti mereka, yang mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir ketika itu bagi membawa pembaharuan kepada pentadbiran dan kemajuan Malaysia, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Iklan
Iklan

Malah Anthony memberitahu ketika itu, DAP juga telah berbincang secara panjang lebar dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH), untuk mendapatkan persetujuan mengenai kerjasama berkenaan.

"Kita juga ada bertanyakan pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih dalam penjara ketika itu, yang pada mulanya beliau agak keberatan untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir, tetapi akhirnya bersetuju kerana melihat ada keperluan dari segi strategi untuk menggabungkan pengaruh dan kuasa, bagi membawa pembentukan kerajaan baharu.

Iklan

"Cuma apa yang berlaku selepas pembentukan kerajaan baharu, kita kesali kerana ia tidak dapat mencapai objektif yang sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan simposium Keselamatan Wanita dalam Industri Transit dan Pengangkutan di Bandar Sunway hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Dr Mahathir dalam rakaman podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan semalam, yang mengakui dirinya hanya mempergunakan DAP dan menyedari DAP juga mempergunakannya untuk menjatuhkan Najib.

Iklan

Pendedahan itu dibuat selepas Dr Mahathir ditanya oleh Shahril mengenai pendiriannya yang dilihat tidak konsisten dalam berurusan dengan DAP dan PAS, kerana ada ketikanya sering mengkritik dua parti berkenaan, tetapi pada ketika lain, boleh duduk bersama pimpinan parti terbabit.

Mengenai gesaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar Akta Lompat Parti diteliti semula kerana wujud kelemahan, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, sepatutnya Bersatu meminda perlembagaan mereka.

Dr Mahathir

Beliau berkata sebelum ini, kepimpinan Bersatu sendiri yang tidak bersetuju dengan cadangan (pindaan peruntukan akta), bahawa seseorang MP yang dipecat daripada parti perlu kosongkan kerusinya kerana mengganggap ia tindakan yang tidak adil.

"Tetapi, DAP ketika itu sudah melihat ada kelemahan, sebab itu kita mengambil langkah dalaman dengan meminda perlembagaan parti sendiri untuk memastikan sekiranya seseorang MP atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak lagi menjadi ahli parti, dia perlu menggosongkan kerusi.

"Jadi hari ini apa yang mereka (Bersatu) bantah sebelum ini telah memakan diri, kerana kalau empat orang itu (ahli Parlimen) dari DAP, sudah pasti mereka akan hilang kerusi dan perlu dibuat pilihan raya kecil,” katanya sebagai merujuk tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu yang menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri, sehingga membawa gesaan untuk menambah baik akta itu.

Empat pemimpin Bersatu yang menyokong secara terbuka Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik. - Bernama


Dr Mahathir (kiri), Anwar

Dr Mahathir perjelas sebab Anwar tidak jadi Perdana Menteri lebih awal

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan punca Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri lebih awal selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dr Mahathir berkata, sewaktu beliau bersama DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), tampuk kepimpinan parti berkenaan telah memilihnya untuk menjadi Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, mereka juga tentukan saya jadi Perdana Menteri untuk beri peluang kepada Anwar jadi Perdana Menteri dan saya terima itu.

"Akhirnya, saya terima jadi calon Perdana Menteri dengan syarat bahawa saya jadi Perdana Menteri untuk suatu tempoh dan diserah kepada Anwar,” katanya menerusi Podcast Keluar Sekejap Episod ke-65 yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir memaklumkan, niatnya itu tidak dapat dilunaskan kerana berlakunya Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH hilang kedudukan.

Tambahnya, jika jawatan itu diserahkan kepada Anwar, beliau sama sekali tidak berupaya untuk menjadi Perdana Menteri kerana PH sudah hilang majoriti.

"Ketika itu juga, saya dapati PH akan kalah kerana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menjatuhkan PH.

"Kalau saya angkat Anwar jadi Perdana Menteri, dia tidak akan jadi," ujarnya.