SEPANG - Polis menafikan anggotanya terlibat dalam satu hantaran jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi media sosial pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, semakan dijalankan berdasarkan satu tangkap layar memaparkan komen yang dilontarkan seorang individu mendakwa merupakan anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
"Semakan dijalankan pihak Bukit Aman menerusi telefon bimbit yang digunakan mengesahkan individu terbabit bukan warga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"IPD Sepang menafikan sebarang penglibatan anggota seperti dakwaan komen berkaitan dan apa yang dinyatakan menerusi komen tersebut adalah tidak benar sama sekali," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, setakat ini hasil semakan pusat media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut mendapati tiada laporan dibuat berhubung dakwaan berkenaan.
"Orang ramai diingatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau hantaran tidak tepat.
"Jangan berkongsi sesuatu hantaran yang tidak sahih dan boleh menimbulkan kegentaran awam," katanya.
Pada Isnin, tular satu hantaran di media sosial berkaitan tangkap layar di salah satu platform memaparkan seorang individu mendakwa sebagai seorang anggota polis.
Komen terbabit dipercayai berkaitan dengan satu hantaran jelik melibatkan Perdana Menteri.