170 pegawai KPDNHEP pantau harga barang

Iklan
Summugam melihat lada benggala hijau yang ditawarkan dengan harga RM6.99 berbanding RM10 harga maksimum manakala cili merah ditawarkan RM7.50 berbanding RM13 bagi harga maksimum ditetapkan kerajaan.

SUNGAI PETANI - Seramai 170 pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ditugaskan membuat pemantauan harga barang sehingga 31 Disember ini.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Kedah, R Summugam berkata, pegawai terbabit akan ditempatkan di lokasi tumpuan bagi memastikan pemborong dan peruncit mematuhi arahan sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tempoh kuatkuasa adalah 10 hari bermula 22 hingga 31 Disember 2019 berbanding lima hari pelaksanaan pada tahun 2018.

"Sebanyak 19 barangan ditentukan harga maksimum untuk jualan secara runcit antaranya ayam hidup RM5.80, ayam standard RM7.30, ayam super RM8.10, ayam belanda import RM28, daging kambing tempatan bertulang RM47, daging kambing dan berbiri import bertulang RM26.

Iklan

"Antara barangan lain termasuk telur ayam gred A 40sen, telur ayam gred B 39sen, telur ayam gred C 38sen, manakala tomato RM4.30, lada benggala hijau RM10, cili merah RM13, kubis bulat import RM3 dan ubi kentang import China RM3," katanya semasa melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Pasaraya Econsave Bandar Puteri Jaya kelmarin.

Summugam memantau harga kobis bulat ditawarkan 98 sen di Econsave berbanding harga maksimum ditetapkan kerajaan ialah RM3.

Summugam berkata, pegawai akan ditempatkan sama ada berpakaian uniform atau tidak bagi memantau penentuan harga maksimum sepanjang skim berlangsung.

Iklan

"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan denda mencecah RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 jika didapati bersalah.

"Bagi syarikat, denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 boleh dikenakan.

Pemantauan dilakukan ke atas ubi kentang yang ditawarkan RM2.29 di Econsave berbanding harga maksimum ditetapkan kerajaan ialah RM3.

"Kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu boleh didenda RM10,000 sehingga RM20,000 atau kompaun RM5,000 sehingga RM10,000," katanya.

Katanya, hasil pemantauan dilakukan di Pasaraya Econsave, beliau berpuas hati selain mendapati kebanyakan harga barang kawalan ditawarkan lebih murah dari harga maksimum.