Misi ketuk pintu Piala Dunia

Iklan
Skuad Harimau Malaya menjalani Sesi Kem Latihan sebagai persediaan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Wisma FAM Kelana Jaya.

TUMPUAN terkini skuad Harimau Malaya beralih kepada usaha mengetuk 'pintu' Piala Dunia, tanpa mengabaikan inisiatif mengukuhkan cengkaman di persada Asia, selepas menoktahkan penantian lebih empat dekad untuk layak secara merit ke Piala Asia.

Berdasarkan tahap kemajuan pada era 'kepimpinan Kim Pan-gon' yang menyaksikan Malaysia kini merupakan pasukan ke-24 terbaik Asia, skuad kebangsaan sememangnya memiliki potensi untuk mara lebih jauh dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 sekali gus mencipta sejarah tersendiri.

Iklan
Iklan

Bermula Khamis ini, skuad Harimau Malaya akan berjuang merebut 18 slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, selepas sering terkandas di pusingan kedua kelayakan dalam percubaan terdahulu, meskipun jurulatih saling bertukar ganti.

Diundi dalam Kumpulan D pada kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Malaysia yang menghuni ranking dunia ke-137 sebenarnya berdepan tugas mencabar dan sedikit kesilapan pastinya akan mengundang padah.

Iklan

Ini kerana anak buah Pan-gon akan bersaing dengan dua pasukan di ranking lebih baik iaitu Oman (ke-72) dan Kyrgyzstan (ke-97), selain perlu berwaspada dengan cabaran Taiwan (ke-152) dalam merebut dua slot teratas kumpulan, untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan.

Namun berbekalkan tujuh kemenangan, termasuk menundukkan tiga pasukan di ranking lebih tinggi pada ketika itu antaranya India (ke-102), dua seri dengan pasukan 100 terbaik - Syria (ke-94) dan China (ke-80), serta dua tewas sepanjang tahun ini, Malaysia berada di landasan tepat untuk berjaya.

Iklan

Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen pusingan kedua kelayakan dengan melayani kunjungan Kyrgyzstan, di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini pada Khamis dan bertemu Taiwan di Taipei pada 21 November bagi dua aksi pertama tahun ini.

Bagaimanapun, berdasarkan prestasi semasa pasukan negara yang memiliki 72.73 peratusan kemenangan tahun ini berbanding Kyrgyzstan (31.25 peratus), skuad Harimau Malaya sepatutnya tidak berdepan masalah mengutip tiga mata.

Pan-gon dilihat mahu meneruskan pendekatan taktikalnya, apabila mengekalkan 20 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat bagi menghadapi kejohanan Pestabola Merdeka 2023 bulan lepas, yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan, di sini.

Antara pemain yang dikekalkan adalah ketua pasukan Dion Cools, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Mohamad Faisal Abdul Halim, Brendan Gan, Dominic Tan, Darren Lok, Paulo Josue dan Junior Eldstal.

Dalam pada itu, pasukan lawan bimbingan Stefan Tarkovic yang dilihat memiliki kelebihan dari segi fizikal dan permainan 'keras', juga tidak berada dalam prestasi terbaik selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut di tangan Bahrain 0-2 dan Filipina 0-1, pada aksi persahabatan antarabangsa bulan lepas.

Namun, mereka telah membuat persiapan rapi menjelang pertembungan Khamis ini, apabila dilaporkan sebahagian pasukan telah berada di sini sejak Khamis lalu dan mula menjalani latihan penuh selepas baki pemain daripada kelab Abdish-Ata Kant, pendahulu liga Kyrgyzstan menyertai dua hari kemudian.

Berdasarkan senarai pemain yang menyertai kem latihan Kyrgyzstan, Tarkovic memanggil 11 pemain dari kelab Abdish-Ata Kant dan melengkapkan skuad bimbingannya dengan pemain yang berpangkalan di luar negara antaranya di Jerman, Rusia dan Turkiye.

Antara pemain yang menjadi kunci pasukan Kyrgyzstan ialah penyerang berpengalaman Mirlan Murzayev yang beraksi bersama kelab Vietnam, Hanoi FC dan mengumpul 16 gol di pentas antarabangsa selain penyerang kelahiran Ghana Joel Kojo dan pemain tengah muda Gulzhigit Alykulov.

Selepas dua perlawanan bulan ini, Malaysia dijadual bertemu Oman di tempat lawan dan sendiri tahun hadapan, masing-masing pada 21 dan 26 Mac, Kyrgyzstan di gelanggang lawan (6 Jun) dan bertemu Taiwan (11 Jun) di Malaysia. - Bernama