JPV rampas 9,120kg karkas babi sejuk beku

Iklan
Anun menunjukkan antara karkas babi yang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah lori kontena di Kampung Pak Kancil, Bandar Permaisuri di Setiu, Khamis lalu.

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu merampas 9,120 kilogram karkas babi sejuk beku yang dibawa sebuah lori kontena selepas disyaki disembelih di rumah sembelihan tidak diluluskan.

Pengarahnya, Dr Anun Man berkata, rampasan itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa dalam serbuan di tepi jalan di Kampung Pak Kancil, Bandar Permaisuri di Setiu sekitar jam 3.30 pagi pada Khamis lalu.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan ke atas lori kontena tersebut mendapati terdapat 228 karkas babi dan 29 kotak organ babi yang dibawa bersama.

"Siasatan awal ke atas pemandu dan kelindan mendakwa daging babi berkenaan disembelih di rumah sembelihan di Selangor dan ingin dibawa ke Kuantan. Bagaimanapun ia didapati bercanggah setelah siasatan lanjut dijalankan ke atas barangan tersebut.

Iklan

"Susulan itu, kita merampas dan menyita lori kontena itu dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM396,240," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Selasa.

Menurut Anun, dua individu itu turut ditahan bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Kaedah 5 (3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.

Iklan

"Bagi kes ini, tiada seorang pun boleh menjual, mempamerkan untuk dijual atau memiliki apa-apa karkas binatang yang tidak disembelih di rumah sembelih diluluskan atau dilesenkan. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPV memandang serius kesalahan tersebut bagi menghalang risiko penularan virus Demam Babi Afrika atau African Swine Fever (ASF).

"Pihak jabatan mengambil berat penyakit ASF kerana wabak penyakit itu telah melanda Malaysia dan menyebabkan kerugian terhadap ternakan berkenaan.

"Di Terengganu kita tiada ladang ternakan babi dan pusat penyembelihan. Setakat ini penyakit itu menyerang babi hutan dan dikhuatiri memberi kesan kepada ternakan khinzir di seluruh negara sekiranya tidak dibendung," katanya.