RAMALLAH - [DIKEMAS KINI] Seorang pemuda Palestin bertempur selama enam jam dengan ratusan tentera Zionis di Tebing Barat pada minggu lalu.
Kejadian di perkampungan Abu Das di Baitulmaqdis Timur itu menyaksikan Nabil Halabiya melawan hampir 150 askar Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dan polis sempadan.
Nabil yang bertempur bersendirian turut dirakam melaungkan panggilan jihad ketika rumahnya dikepung.
Menurut laporan Al Jumhur, Nabil baru dua bulan dibebaskan dari penjara, namun pihak berkuasa Israel memutuskan untuk memenjarakan kembali pemuda tersebut.
Tambah laporan itu, selepas beberapa jam berbalas tembakan, kereta kebal mengebom kedudukan Nabil dan melepaskan tembakan bertalu-talu yang membawa kepada kematian pemuda tersebut.
"Sebelum itu, puluhan ahli keluarga Nabil ditangkap bagi memberi tekanan kepadanya untuk menyerah diri.
"Dua orang turut gugur syahid ketika askar Israel cuba menangkap Nabil," kata Ketua Jawatankuasa Pertahanan Abu Dis, Bassam Bahr.
Ujar Bassam lagi, Nabil memiliki dwi kewarganegaraan iaitu Palestin dan Rusia.
"Selepas membunuh Nabil, askar Israel memusnahkan serta meratakan rumahnya dan kemudian mengambil jenazahnya menggunakan jentolak," ujar Bassam.
Israel sering kali menyekat jenazah rakyat Palestin yang dibunuh ketika didakwa melakukan serangan dan menggunakannya bagi rundingan pertukaran banduan atau mayat warga Israel.
Aksi heroik Nabil menentang askar Israel dirakam penduduk tempatan dan ia tular selepas dimuat naik ke media sosial. - Agensi