KOTA MARUDU - Seorang pemandu jentolak maut terkena renjatan elektrik ketika cuba menyelamatkan rakannya yang berada di dalam sebuah lori yang terbakar dalam kejadian di Kampung Samparita, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, John Adam Baudi, 56, disahkan maut di lokasi kejadian manakala rakannya, Johan Mojubin, 40, telah di hantar ke hospital oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintenden Zairolnizal Ishak berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja pembinaan Jalan Tandek-Samparita.
"Ketika kejadian, pemandu lori sedang menurunkan muatan tanah daripada lori. Bagaimanapun, tiba-tiba lori tersebut terkena wayar elektrik dan menyebabkan kenderaan itu terkena renjatan serta terbakar.
"Pemandu lori sempat terjun keluar namun tercedera manakala rakannya yang berada di luar kenderaan cuba membantu dengan membuka pintu lori tetapi malangnya terkena renjatan elektrik tersebut.
"Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.35 pagi.
Menurutnya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 28 kilometer dari BBP Kota Marudu.
"Kejadian melibatkan kebakaran sebuah lori 10 tan dan telah terbakar sebanyak 70 peratus di bahagian belakang akibat terkena kabel elektrik semasa menurunkan muatan tanah.
"Terdapat dua mangsa iaitu pemandu lori dan juga rakannya yang sedang melakukan kerja menggunakan jentolak. Operasi memadamkan kebakaran turut dilakukan dengan menggunakan air dari jentera pasukan bomba," katanya.
Mohd Hasbi berkata, operasi yang turut mendapat bantuan daripada polis dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) ditamatkan pada jam 12.53 tengah hari.