KOTA BHARU - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman merekodkan peningkatan sebanyak 23 peratus kes jenayah dalam talian bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Jumlah berkenaan membabitkan 15,659 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu meningkat kepada 19,224 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM687 juta.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Ni Ching berkata, Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia pula merekodkan sebanyak 7,292 insiden keselamatan siber sepanjang tahun lalu.
"Sebanyak 4,898 insiden keselamatan siber diterima dari Januari hingga Oktober tahun ini dan penipuan dalam talian terus berada di tangga teratas iaitu sebanyak 3,087," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Anti Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok pada Selasa.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Ni Ching memberitahu, ancaman dan serangan siber yang berlaku ketika ini bukan hanya tertumpu kepada syarikat atau organisasi malah individu tertentu juga boleh menjadi mangsa.
Jelasnya, statistik turut menunjukkan bahawa mangsa scam melibatkan golongan profesional seperti pensyarah, guru, jurutera dan doktor.
Bagaimanapun katanya, jumlah akaun yang ditutup setakat 31 Oktober lalu ialah 4,013 manakala laman web palsu yang disekat ialah sebanyak 1,764.
"Kita turut menyekat 410,590,277 sistem pesanan ringkas (SMS) tidak diminta dari Januari hingga September tahun ini manakala 19 juta SMS yang mengandungi pautan (Hyperlink) disekat dari 2 Mei sehingga September lalu," katanya.
Beliau turut memaklumkan, dari Januari sehingga September lalu, sebanyak 79,322 talian termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar SMS meragukan ditamatkan perkhidmatan.
"Sebanyak 553,173,467 panggilan meragukan juga disekat dalam tempoh sama," katanya.
Ni Ching memaklumkan, penipuan dalam talian dan ancaman scam mengakibatkan negara mengalami kerugian jutaan ringgit selain mangsa berdepan tekanan emosi serta kemurungan yang membawa kepada penurunan kualiti kehidupan.
Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 bermula 18 Februari lalu di Selangor dan Kuala Lumpur sebelum ke Perlis, Sarawak dan Sabah.