KUANTAN - [DIKEMASKINI] Semua pengusaha bas dan van sekolah haram digesa memohon lesen perniagaan bas sekolah dan memeriksa kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, pengusaha juga dinasihatkan mengikut panduan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menggalakkan pengusaha tukar bas baharu jika keadaan sudah usang.
Menurutnya, pengusaha yang berlesen akan menambah keyakinan ibu bapa dan mengubah persepsi awam mengenai kelemahan dan keselamatan anak-anak ketika di bawah pengendalian pengusaha bas sekolah.
"Segera hantar bas untuk jalani pemeriksaan Puspakom yang mana nanti pihak Puspakom akan mengeluarkan sijil kebenaran berada di lapangan.
"Selain itu, pemandu dinasihatkan membuat pemeriksaan kesihatan kerana rata-rata mereka berusia 40-an ke atas. Bermula Januari hingga Mac pihak polis akan jalankan pemantauan dan penguatkuasaan dalam usaha mencapai kadar penurunan ketara membabitkan kemalangan bas sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penutup Program Keselamatan Jalan Raya Bersama Pengusaha Bas Sekolah di Kompleks PDRM Alor Akar di sini hari ini.
Seramai 58 daripada 315 pengusaha berdaftar menyertai program tersebut iaitu dari Kuantan, Maran dan Pekan.
Abd Jalil berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperluaskan program tersebut ke seluruh negeri bagi memastikan pengusaha mendapat ilmu dan maklumat yang cukup berkaitan keselamatan pelajar.
"Selain faktor keselamatan, pengusaha juga diminta mengambil berat faktor usia kenderaan, kebersihan dan tingkah laku semasa memandu dan mengendalikan pelajar," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Daerah Kuantan, Lim Chee Wye berkata, pihaknya memuji inisiatif dilaksanakan PDRM dalam menganjurkan ceramah berkaitan keselamatan terhadap semua pemandu dan pengusaha bas sekolah.
"Pada masa akan datang kita harap dapat diadakan sesi tambahan iaitu sesi dialog kerana ada banyak masalah boleh diadukan secara terus.
"Kita juga harap pihak JPJ dapat memberi kelonggaran dari segi usia kenderaan. Mungkin boleh dilanjutkan melebihi 30 tahun kerana kenderaan yang diselenggara dengan baik masih boleh digunakan bagi tujuan itu," katanya.
Pengusaha Bas Sekolah Kawasan Gambang, Hamisah Mohamed, 48, pula berkata, ibu bapa diminta mempertimbangkan kadar upah mengikut nilai wang semasa.
"Pada masa kini kebanyakan bayar RM70 untuk radius lima kilometer seorang bagi satu sesi persekolahan.
"Bayaran itu sangat murah jika dibandingkan dengan peningkatan kos bahan bakar termasuk kos selenggara kenderaan," katanya.