SHAH ALAM -"Badan saya ditumbuk serta diterajang selain tangan saya ditoreh,"
Demikian cerita seorang wartawan antarabangsa yang menempuh detik menakutkan apabila dikurung serta diseksa tiga hari oleh beberapa individu dalam sebuah rumah ketika dilarikan beberapa individu pada 7 November lalu.
Individu yang mahu dikenali sebagai Ahmad itu berkata, kematian dirasakan terlalu dekat tatkala menjadi mangsa individu terbabit.
"Saya rasa macam nak mati ketika itu, namun saya kuatkan semangat saya dan berusaha untuk cari pelbagai helah untuk melepaskan diri," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menceritakan detik dirinya menjadi mangsa perbuatan jenayah berkenaan, katanya, dirinya didatangi beberapa individu mengaku sebagai anggota polis di rumahnya di Putrajaya sekitar 7 November lalu.
"Mereka mendakwa perlu menahan saya berkaitan satu kejadian yang ada melibatkan mangsa, saya percayakan mereka kerana mereka mengaku sebagai anggota polis.
"Hati saya mula mengesyaki sesuatu apabila pada awalnya saya didakwa akan dibawa ke sebuah pejabat, namun sebaliknya berlaku apabila saya diserahkan kepada beberapa individu lain, masa tu saya sedar diri saya dalam bahaya," katanya.
Jelasnya, dia kemudian dibawa dan dikurung dalam sebuah rumah oleh individu terbabit.
"Ketika itu saya menempuh detik hitam apabila diperlakukan sedemikian, saya tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya hanya merayu agar dilepaskan.
"Saya dipaksa memberikan wang berjumlah RM1.9 juta, namun saya tiada wang sebanyak itu, saya kemudian hanya mampu beri kepada mereka sebanyak RM50,000 sahaja, itu pun selepas mereka pukul dan ugut saya dengan menunjukkan video kejam yang memaparkan individu disembelih," katanya.
Ahmad berkata, dia kemudian cuba melarikan diri setelah dibawa untuk mendapatkan rawatan pada hari kedua ditahan.
"Lepas saya dirawat, saya terus lari keluar dari klinik berkenaan dan menjerit meminta pertolongan, bagaimanapun tiada sesiapa yang bantu.
"Salah seorang suspek kemudian kejar saya dan berjaya tangkap saya ketika itu sebelum dibawa pulang ke tempat saya dikurung," katanya.
Ahmad percaya kejadian itu berlaku disebabkan dia pernah keluarkan artikel berkaitan jenayah berkaitan eksploitasi warga asing.
"Saya cuba bermain psikologi dengan salah seorang suspek dan mempersoalkan tindakannya itu yang sanggup bersekongkol dengan warga asing hanya demi wang.
"Saya ceritakan segalanya berkaitan laporan yang saya buat sebelum ini dan suspek akhirnya bersetuju melepaskan saya setelah mendengar penjelasan saya itu," ujarnya.
Menurutnya, dia bersyukur kerana masih selamat selepas daripada kejadian itu dan menghargai usaha pihak polis yang pantas dalam menangani kes yang dialaminya.
"Saya difahamkan beberapa individu terlibat telah ditahan, saya ucap terima kasih kepada pihak polis.
"Sebagai seorang wartawan, apa yang saya alami ini satu pengalaman cukup bermakna, dan apa pun, saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bernafas," katanya.
Pada Isnin, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan berkaitan tiga anggota polis didakwa terlibat dengan kes pemerasan dan melarikan mangsa akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) minggu ini.
Beliau berkata, seramai lapan individu telah diambil keterangan berhubung kejadian berkenaan.
Jelas beliau, tangkapan melibatkan enam orang iaitu tiga anggota dan tiga orang awam selain sedang memburu tiga lagi suspek berkaitan kes ini.