PENYERANG skuad bola sepak kebangsaan, Darren Lok bertekad untuk meneruskan rentak jaringan sebanyak mungkin untuk membantu Harimau Malaya meraih hasil positif dalam perlawanan pembuka Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada Khamis ini.
Darren berkata, bahawa lima gol yang berjaya dicetaknya dalam empat pertandingan peringkat kumpulan Piala AFC 2023-24 bersama Sabah FC sejak September lalu memberikannya motivasi untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.
Iklan
Iklan
"Tetapi sekarang saya di sini bersama pasukan kebangsaan, fokus saya jelas untuk menjaring gol di sini, itu sangat penting dan itu adalah tugasan saya sebagai penyerang, jadi tentu saja saya datang untuk memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui dalam sesi latihan pasukan kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.
Penyerang berusia 33 tahun itu telah menyumbangkan dua gol bersama pasukan kebangsaan tahun ini, masing-masing ketika menentang Singapura dalam Piala AFF pada Januari lalu dan menentang Syria dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada September lalu.
Dengan Sabah di peringkat pertandingan domestik musim ini, beliau mengumpulkan enam gol dalam Liga Super dan mencetak satu gol dalam kempen Piala Malaysia.
Selepas dua perlawanan bulan ini termasuk menentang Taiwan pada 21 November ini, Malaysia dijadualkan bertemu Oman di tempat lawan dan di sini masing-masing pada 21 dan 26 Mac depan, Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun di Bukit Jalil. - Bernama
Artikel Berkaitan