KUALA TERENGGANU - Seorang pengusaha perabot kerugian hampir RM50,000 selepas rumah dua tingkat di Kampung Losong Haji Mat Shafie di sini yang dijadikan bengkel perabot terbakar, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu hanya disedari pemiliknya, Mohd Ridhwan Mohd Yusof, 33, selepas dimaklumkan salah seorang pekerja ketika sedang bersarapan di rumah ibunya, Mariam Yusof, 60, yang terletak lima meter dari lokasi.
Mohd Ridhwan berkata, meskipun jarak itu terlalu dekat tetapi dia tidak menyedari insiden kebakaran itu kerana tiada bau asap ataupun bau hangit selain tiada langsung bunyi letupan.
"Semasa kejadian, saya bersama beberapa ahli keluarga lain sedang bersarapan di dapur rumah ibu sebelum dikejutkan dengan kehadiran salah seorang pekerja dalam keadaan panik memaklumkan kejadian.
"Dia memberitahu van jenis Ford Transit yang diparkir di garaj hadapan sudah terbakar serta sebahagian rumah dua tingkat itu juga sedang terbakar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, pekerja memaklumkan dia ternampak van dipenuhi barang-barang pelanggan termasuk katil dan tilam terbakar dahulu sebelum merebak ke dinding rumah.
"Saya beli van itu kira-kira empat tahun lalu untuk menghantar barang-barang perabot yang dipesan pelanggan di sekitar daerah ini dan kali terakhir digunakan Selasa lalu.
"Hari ini, saya bercadang untuk menghantar kepada pelanggan pada tengah hari ini dan sudah pun menghubungi pelanggan untuk memaklumkan mengenai penghantaran barang mereka.
"Setahu saya, van itu sebelum ini tidak pernah meragam jadi saya tidak pasti bagaimana ia boleh terbakar,” katanya.
Mohd Ridhwan yang turut menjalankan urusniaga di atas talian itu berkata, kejadian itu menyebabkan banyak perabot milik pelanggan yang sudah siap hangus selain beberapa mesin dan peralatan membuat perabot yang dianggarkan bernilai kira-kira RM50,000 termasuk van.
Katanya, walaupun terpaksa menanggung kerugian kerana insiden ini namun dia masih bersyukur kerana kejadian itu tidak menyebabkan berlaku kemalangan jiwa.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran berkenaan jam 10 pagi.
Menurutnya, seramai 17 anggota bersama dua jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi bantuan memadamkan kebakaran.
"Kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengawal api dan kerja-kerja pemadaman selesai sepenuhnya lebih kurang 10 minit.
"Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.