KUALA LUMPUR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak gagal dalam melaksanakan janji manifestonya berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sebaliknya tiga daripada empat janji yang terkandung dalam Buku Harapan telah dilaksanakan, kata Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan.
"(Dalam manifesto PH) ada empat janji. Pertama, pelajar yang cemerlang diberikan pelupusan pinjaman sekiranya mereka datang daripada keluarga B40 dan M40, ini telah dilaksanakan. Kedua, sekatan imigresen akan dihapuskan, ini pun sudah dilaksanakan dalam masa sebulan dua ketika kita masuk pejabat.
"Janji ketiga ialah anak muda yang tidak mampu bayar (maka) majikannya (akan) diberi insentif untuk bantu bayar dan ini juga telah dilaksanakan bermula tahun ini. Majikan yang membantu bayar balik pinjaman pekerja mereka akan diberi pelepasan cukai,” katanya dalam program bual bicara ‘Bicara Politikonomi’ yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Rabu malam.
Tambahnya, cuma satu janji yang belum dapat dilaksanakan iaitu penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan.
Wan Saiful berkata, janji tersebut sedang diusahakan pihaknya dan perkara tersebut akan mengambil sedikit masa untuk ditunaikan.
"Jadi dari segi janji sebenarnya daripada empat janji tiga telah dilaksanakan dalam masa setahun setengah (PH memerintah), kira-kira 75 peratus dan ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan oleh pegawai-pegawai kita,” tambahnya.
Ketika mengulas mengenai peminjam yang mempunyai masalah untuk membayar balik pinjaman mereka, Wan Saiful berkata, pihaknya sedang menjalankan satu kajian mendalam bagi mengenal pasti punca perkara itu terjadi.
"Selama ini tidak pernah ada satu kajian yang mendalam, terdapat terlalu banyak andaian yang kita dengar (termasuk) dari segi sikap dan ada yang kata peminjam tidak mampu (bayar balik).
"(Oleh itu) kita dah mulakan (kajian), bila kita dah tahu punca baru boleh kita cadangkan penyelesaian. Kita kena tunggu keputusan (kajian) itu yang sedang dijalankan,” katanya.
Masalah membuat bayaran balik PTPTN sememangnya sering dibangkitkan sebelum ini dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada bulan lalu mendedahkan bahawa seramai 375,925 peminjam PTPTN tidak pernah membayar balik pinjaman mereka. - Bernama