Haiwan di Zoo Negara juga ada hak hidup selesa

Iklan

MASUK sahaja bulan November setiap tahun, kita sudah dibekalkan dengan pesanan-pesanan agar lebih berwaspada dan sentiasa cakna tentang fenomena El Nino serta Monsun Timur Laut.

Musim hujan dan banjir adalah dua perkara yang diberi perhatian setiap kali hujung tahun. Baik di luar bandar, khususnya negeri-negeri Pantai Timur, atau bandar-bandar tertentu terutamanya Lembah Klang yang tidak terlepas daripada kejadian banjir kilat.

Iklan
Iklan

Namun, pada pertengahan Oktober lalu, kita telah dikejutkan dengan kejadian banjir kilat di Zoo Negara yang terletak di Kemensah, Selangor.

Meskipun tidak melibatkan kehilangan nyawa, banjir kilat yang dilapor berlaku selama satu jam itu menyebabkan Zoo Negara menanggung kerugian lebih RM300,000.

Iklan

Media melaporkan, Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmad Lana berkata, punca air naik di kawasan Zoo Negara adalah disebabkan limpahan dari Sungai Kemensah yang tidak dapat menampung walaupun sungai tersebut sudah diperbesarkan.

"Zoo Negara tidak boleh buat apa-apa. Yang penting adalah pelan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Mereka yang membesarkan sungai.

Iklan

"Tanggungjawab Zoo Negara adalah untuk menyelamatkan pengunjung dan haiwan di sini. Itu sahaja yang boleh kami lakukan,” katanya.

Difahamkan, kejadian banjir kilat di Zoo Negara bukan kali pertama berlaku, membuatkan kakitangan Zoo Negara sudah bersedia untuk operasi menyelamatkan haiwan dan pengunjung sekiranya banjir kilat berulang.

Rentetan itu, pihak pengurusan Zoo Negara mencari kaedah mewujudkan kenderaan khas untuk menyelamatkan pengunjung sekiranya berlaku bencana.

Nampaknya sudah sampai masa kesesuaian lokasi sedia ada yang menjadi tarikan pelancongan negara itu dikaji semula. Pemindahan lokasinya yang kini terletak di tepi Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) wajar diambil perhatian serius.

Sebelum ini Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu Parlimen, sudah ada cadangan memindahkan Zoo Negara ke tapak yang lain berikutan kepesatan pembangunan di sekitar Hulu Klang termasuk Taman Melawati dan Kemensah.

Namun, ia tidak dapat direalisasikan kerana urusan dan pentadbiran Zoo Negara itu dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagi penulis, perkara itu tidak wajar dijadikan alasan dan campur tangan kerajaan perlu dibuat bagi memastikan produk pelancongan itu diberi nafas baharu demi kebajikan penghuninya.

Haiwan juga mempunyai hak untuk berasa selesa dan selamat selain potensi menjadikan Zoo Negara sebagai destinasi utama yang dituju pelancong dalam dan luar negara.

Penulis percaya pihak pengurusan telah melakukan yang terbaik untuk memastikan kebajikan haiwan-haiwan di bawah tanggungjawab mereka itu terjaga.

Namun, tentunya soal modal menjadi isu terbesar menyebabkan pertimbangan untuk melakukan pemindahan masih tergantung.

Anggap saja haiwan di zoo juga adalah rakyat. Mereka juga penghuni di negara ini.

Jadi, campur tangan kerajaan untuk memberikan peruntukan lebih besar amat diperlukan demi kebaikan jangka masa panjang. Apatah lagi Zoo Negara merupakan produk nasional yang sepatutnya lebih menonjol.

Takkanlah sekadar mengangkat kucing 'Oyen' sebagai Star of Zoo Negara sudah mencukupi? Maaf cakap, orang kita sendiri lebih tertarik untuk berkunjung ke taman safari di negeri-negeri lain termasuk di luar negara.

Bandingkan dengan negara jiran kita, Indonesia yang menawarkan Taman Safari terletak di beberapa daerahnya yang lebih alami, haiwannya lebih bebas umpama di habitat semula jadi.

Jika banyak kawasan hutan kita boleh dibenarkan ditarah untuk pembangunan demi manusia, mengapa tidak kita, bangunkan taman safari yang lebih besar, canggih dan masyhur di mata dunia?

Berikan semula habitat sebenar mereka. Pengunjung juga akan lebih teruja!

* Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Sinar Harian