KOTA BHARU - Proses penghasilan dan pengeluaran batik canting oleh seorang belia di Pantai Pulau Kundur, di sini, akan perlahan pada Monson Timur Laut (MTL) berbanding tempoh biasa.
Pengusaha batik itu, Mohd Faizal Abdullah, 40, berkata, cuaca hujan itu akan menjejaskan kira-kira 50 peratus kerja-kerja mengeringkan batik dan prosesnya perlu ditukarkan ke bawah tempat berbumbung.
Menurutnya, sehelai kain berlukisan batik sepanjang empat meter biasanya mengambil masa kurang sejam sahaja untuk kering di bawah cuaca panas terik sekitar 30 darjah Celsius.
"Jika hujan dan cuaca mendung, batik yang dijemur lambat kering dan mengambil masa lebih lama hingga sehari atau dua.
Ujarnya, batik yang sudah dimatikan warna atau melalui proses merebus biasanya tidak akan terjejas apabila terkena hujan namun perkara itu tetap dielakkan supaya lilin pada kain tidak rosak dan warna pada batik akan kekal cantik.
Kata lelaki itu, perusahaan yang diwarisi daripada keluarganya itu banyak tertumpu kepada penghasilan kaftan batik namun berkembang kepada seragam batik sejak kerajaan mewajibkan pemakaian tradisional itu kepada kakitangan awam pada setiap Khamis.
"Sebelum ini tempahan untuk seragam batik seperti kemeja dan baju kurung tetapi kali ini ramai guru-guru serta pekerja pejabat kerajaan membuat tempahan untuk dipakai pada hari berkenaan.
"Kalau cuaca hujan, saya pula tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang kebanyakan dari Terengganu dah Pahang selain negeri Kelantan sendiri,” kata Mohd Faizal.
Dia berkata, batik perlu melalui proses bermula dengan mencanting iaitu melukis corak, mewarna, mematikan warna dan kemudian barulah dijemur sehingga kering.
Menurutnya, mempunyai kira-kira 20 pekerja yang mampu menyiapkan sekitar 130 helai batik sepanjang empat meter dalam tempoh sehari.
"Saya masih mengekalkan penghasilan batik secara tradisional menggunakan tenaga manusia pada setiap proses mencanting batik kerana mahu mempertahankan tradisi ini.
"Boleh saja hendak gunakan mesin atau teknologi yang lebih canggih tetapi kalau guna tangan manusia, setiap lukisan batik yang terhasil akan lebih eksklusif,” katanya.