SAN FRANCISCO - [DIKEMAS KINI] Maklumat salah dan palsu yang memudaratkan merupakan krisis semakin meningkat dan kritikal, menandakan keperluan segera untuk campur tangan kerajaan serta kerjasama antarabangsa bagi mengekang keadaan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyeru syarikat teknologi, khususnya yang telah berkembang maju di Lembah Silikon, menjalankan tanggungjawab penting sebagai penjaga komunikasi moden.
Kawasan Teluk San Francisco menempatkan banyak syarikat Fortune 500 terbesar di dunia seperti Tesla, Uber, Salesforce, Pixar, Netflix, Lucasfilm Ltd, Levi Strauss dan beberapa firma paling inovatif dalam pembangunan AI (kecerdasan buatan), bioteknologi, perisian, teknologi bersih dan media sosial.
Anwar yang berada di sini untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2023 berkata adalah penting untuk melaksanakan penyelesaian teknologi termaju dan penyederhanaan kandungan manusia yang kukuh berdasarkan konteks tempatan.
"Langkah ini dan komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti adalah penting untuk platform ini berfungsi sebagai saluran untuk dialog yang membina dan bukannya saluran untuk penipuan dan manipulasi.
Anwar berkata, inilah masanya untuk menjalin perkongsian yang lebih kukuh dan memanfaatkan inovasi yang dapat melindungi masyarakat dan struktur kehidupan kolektif.
"Demokrasi, walaupun ada kelemahan, kekal sebagai harapan terbaik dan ketahanannya bergantung kepada kewaspadaan dan penambahbaikan berterusan, selari dengan dedikasi mereka yang mendahului kita,” kata beliau. - Bernama.