Pernah kena tambang RM300

Iklan
Syahruzaman (kanan) mendengar rintihan Samsiah tentang masalah kesihatan Syukri di rumahnya di Kampung Tanjung Piai, Serkat, baru-baru ini.

PONTIAN - Tidak berupaya memandu kenderaan sendiri menyebabkan pasangan suami isteri yang memiliki anak menghidap kanser mata (Right Nasal Fibrow Dysplasia) terpaksa bergantung harap dengan pengangkutan awam untuk ke hospital di Kuala Lumpur.

Bas dan teksi menjadi pengangkutan utama buat Johan Zainal, 60, dan Samsiah Sarip, 48, bersama anak Mohd Syukri Johan, 10, yang tinggal di Kampung Tanjung Piai, di sini.

Iklan
Iklan

Samsiah memberitahu, kos untuk ke Kuala Lumpur agak tinggi memandangkan mereka perlu mencari tempat penginapan setiap kali Syukri menjalani rawatan dan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Pernah kami dikenakan tambang teksi sebanyak RM300 dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Saya dan suami tidak pandai hendak gunakan pengangkutan lain.

Iklan

"Perbelanjaan lain yang perlu kami tanggung seperti tempat menginap. Paling murah tempat menginap RM80 semalam,” katanya.

Sebelum ini, Baitumal Negeri Johor menyatakan persetujuan bagi menanggung kos pembedahan mata Mohd Syukri sebanyak RM18,000 yang akan dilakukan pada penghujung bulan ini di PPUM, Kuala Lumpur.

Iklan

Samsiah berkata, dia dan suami akan memastikan Syukri mendapatkan rawatan bagi memulihkan kanser mata yang kini mengganggu kesihatan dan emosi anaknya itu.

"Saya sentiasa berdoa pembedahan ke atas Syukri berjalan lancar. Mata kanan Syukri berkemungkinan besar akan dibuang.

"Kesakitan yang dialami Syukri tidak tertanggung. Dia sering pening kepala dan muntah malah meraung kesakitan,” katanya.

Tetap bersemangat ke sekolah

Biarpun diuji dengan penyakit kanser mata, namun Syukri tetap bersemangat hendak ke sekolah.

Samsiah berkata, bantuan awal persekolahan beg, baju, kasut dan alat tulis yang diterima sebelum cuti persekolahan akhir 2018 cukup menggembirakan Syukri.

Katanya, Syukri seakan tidak sabar untuk ke sekolah semula dan sering bertanya tentang tarikh sekolah akan dibuka bagi sesi persekolahan tahun ini.

"Tahun lepas, Syukri kerap tidak datang ke sekolah kerana masalah kesihatan dan perlu ke hospital di Kuala Lumpur.

"Syukri sering tanya tentang sekolah, kawan-kawan dan cikgu kepada saya. Jadi bila dia dapat kasut, beg, baju sekolah, dia amat gembira,” katanya.

Samsiah berkata, Syukri mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Durian seperti pelajar lain.

"Tahun ini Syukri darjah 4. Jika Syukri sakit, muntah-muntah dan pening, dia boleh pulang ke rumah,"katanya.

Bawa bot bantu suami di laut

Keadaan suami Johan Zainal, 60, yang tidak sihat selain penglihatan yang semakin kabur menyebabkan Samsiah perlu turun ke laut bagi membantu suaminya mencari rezeki.

Samsiah berkata, dia akan membawa bot manakala suaminya akan membantu menjaring ikan di laut.

Katanya, bekerja sebagai nelayan pantai yang pendapatan tidak menentu bergantung kepada cuaca serta keadaan laut yang tidak mengizinkan untuk turun ke laut.

"Memandangkan suami juga mengalami masalah penglihatan, saya juga turut menemani turun ke laut kerana tiada lagi siapa yang nak membantu kami,” katanya.

Selain Mohd, Syukri, keluarga ini mempunyai seorang anak lelaki iaitu Mohd Hafiz, 15 tahun.

Hulur bantuan

Beban ditanggung keluarga Johan terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan antaranya Pergerakan Umno Bahagian Pontian dan Pasaraya Econsave.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Piai, Syahruzaman Ibrahim berkata, sumbangan diberikan kepada keluarga Samsiah diharap dapat meringankan beban kewangan mereka.

Katanya, sebagai tanda simpati dan prihatin kepada masalah yang dihadapi oleh keluarga ini, ahli-ahli Pemuda Umno telah memungut sumbangan untuk diberikan bagi perbelanjaan untuk ke Kuala Lumpur nanti.

"Sekadar apa yang mampu untuk dibantu, Pemuda Umno akan terus mendekati rakyat melalui program Ziarah Kasih sebagaimana yang dilakukan sebelum ini,” katanya.