BIARPUN masa depan Eric Dier bersama Tottenham Hotspur tidak menentu, namun pemain pertahanan itu percaya Spurs mampu merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Spurs yang dibimbing Ange Postecoglou bermula cemerlang apabila melakar rekod tanpa kalah dalam 10 aksi pembukaan untuk memimpin carta.
Namun tewas dalam dua perlawanan terakhir memaksa mereka turun ke tangga keempat untuk mengutip 26 mata dibezakan dua mata dengan pendahulu, Manchester City.
Dier bagaimanapun optimis Spurs masih boleh berada dalam kelompok utama pencabar gelaran liga bersama City, Liverpool dan Arsenal.
"Saingan masih di peringkat awal, masih jauh lagi perjalanan. Segala kemungkinan boleh berlaku,” katanya.
Nasib Dier bersama Spurs mencetuskan teka-teki kerana kontraknya akan tamat pada musim panas dan dia bakal berbincang dengan beberapa kelab lain akhir bulan depan.
Pemain berusia 29 tahun itu dilahirkan di Cheltenham, England, namun dibesarkan di Portugal dan bermain untuk Sporting Lisbon sebelum menyertai Spurs pada 2014.
Dier memberitahu mahu kembali ke tanah airnya sebaik sahaja bersara sambil tidak boleh berjanji akan bermain untuk Sporting lagi.
"Kembali dan bermain di sini (Spurs), anda tidak pernah tahu. Saya tidak boleh memberi jaminan.
"Sporting akan sentiasa menjadi kelab saya. Menghabiskan masa selama 12 tahun. Portugal juga adalah rumah saya.
"Pada usia 29 tahun, saya harap mempunyai banyak tahun lagi untuk bermain. Saya masih muda. Bola sepak adalah keutamaan saya,” katanya.