SHAH ALAM - Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dilanjutkan sehingga jam 6.30 petang bagi membolehkan kesemua 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) berbahas.
Menurutnya, tindakan menghadkan sidang dewan sehingga jam 4.30 petang disifatkan terlalu singkat dan mengganggu proses demokrasi DUN Selangor untuk membenarkan Belanjawan Selangor 2024 dibahaskan oleh semua ADUN pembangkang.
Mohamed Azmin berkata, tindakan itu juga dikhuatiri tidak akan membolehkan ADUN pembangkang berbahas apabila Exco dilapor menggulung perbahasan belanjawan pada Jumaat ini.
"Saya minta izin sebelum Speaker keluarkan petua pada pagi ini, saya hendak menyambut apa yang dibangkitkan Sungai Ramal, Peraturan Tetap 11 dan dibaca sekali Peraturan Tetap 17(4), sebenarnya perkara ini boleh diputuskan oleh Speaker untuk melanjutkan tempoh persidangan sehingga satu tempoh lebih sesuai," katanya.
Beliau yang juga ADUN Hulu Kelang berkata demikian dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan telah mengemukakan dua kali surat secara bertulis kepada Speaker, Lau Weng San untuk memudahcarakan perjalanan sidang ini dengan memberikan nama-nama pembahas daripada ADUN PN yang bersedia untuk berbahas.
"Semalam kita kemukakan enam nama yang bersedia tetapi dipanggil hanya dua. Hari ini saya keluarkan surat menyenaraikan 20 ADUN PN yang sudah bersedia untuk berbahas,” katanya.
Terdahulu, ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah bangun pada akhir sesi soal jawab sebelum perbahasan Belanjawan Selangor 2024 meminta jika Weng San membenarkan sidang dilanjut sehingga jam 7 malam berdasarkan Peraturan Tetap 11 DUN Selangor.
Mohamed Azmin sehubungan itu berkata, lanjutan sidang DUN akan membenarkan tujuh hingga 10 ADUN pembangkang berbahas sebelum penggulungan dibuat.
"Jam 4.30 petang saya kira terlalu awal, kalau boleh dilanjutkan sehingga 6.30 petang sekurang-kurangnya kita dapat libatkan tujuh atau 10 lagi tambahan bagi sehari kerana saya juga dimaklumkan Exco akan menggulung pada Jumaat.
"Kalau itu berlaku mana mungkin dewan ini dapat memberi ruang sepenuhnya kepada semua ADUN,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Speaker, Mohd Kamri Kamaruddin mengambil maklum mengenai perkara tersebut dan akan membincangkannya bersama Weng San sebelum sebarang keputusan dapat diputuskan.