HARIMAU Malaya memburu permulaan positif ketika berdepan Kyrgyzstan dalam perlawanan pertama Kumpulan D, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, tiga mata yang mahu diraih dalam aksi di laman sendiri itu amat penting dalam usaha untuk mencerahkan peluang menjadi 18 pasukan terbaik untuk mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2026.
"Kita ada enam perlawanan dan kita tidak tahu sama ada boleh buat kejutan ke atas Oman.
"Kita juga tidak tahu sama ada kita boleh dapat enam mata maksimum berdepan Taiwan.
"Kita tidak pasti, tetapi setiap perlawanan kita mensasarkan tiga mata dan perlawanan esok amat penting," katanya ketika sidang akhbar pra perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.
Pan-gon berkata, jika Harimau Malaya berjaya, sudah tentu ia amat menggembirakan, tetapi jika sebaliknya, masih akan ada lima perlawanan lagi.
"Harimau Malaya mahu jadi 18 pasukan terbaik dan mara ke pusingan seterusnya.
"Ini sasaran jelas, namun kita tahu cabarannya besar kerana kita di ranking ke-137 dunia.
"Mungkin ada negara yang akan ketawakan kita, tetapi bagi Harimau Malaya ini lah impian kita," katanya.
Skuad negara diundi dalam Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan tersebut bersama Oman, Kyrgyzstan dan Taiwan.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan fokus kepada kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 untuk mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2026 dan meletakkan Piala Asia di Qatar Januari depan sebagai keutamaan kedua.
Untuk rekod, skuad negara belum pernah layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia dan ia akan menjadi sejarah baharu kepada Harimau Malaya sekiranya berjaya mara.
Mengikut format kejohanan, 18 pasukan terdiri daripada dua pasukan terbaik setiap kumpulan kelayakan pusingan kedua akan dipecahkan kepada tiga kumpulan dalam pusingan terahhir kelayakan itu.
Dua pasukan terbaik tersebut akan mara ke Piala Dunia 2026 manakala pasukan ketiga dan keempat setiap kumpulan pula akan beraksi di pusingan keempat kelayakan dan dipecahkan kepada dua kumpulan dengan juara setiap kumpulan layak ke Piala Dunia 2026.
Naib juara pula akan beraksi dalam pusingan playoff menentang pasukan dari benua lain.
Dalam pada itu, Pan-gon turut menyasarkan 12 mata yang mahu dicari pasukan negara dalam pusingan kelayakan ini untuk mencerahkan peluang ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2026.
"Kalau kita dapat 12 mata sudah cukup, kalau dapat 13 mata itu sudah sangat baik," katanya.